HASNI. FOTO Arkib NSTP
HASNI. FOTO Arkib NSTP
Mohamed Farid Noh


Pontian: Umno Johor membayangkan akan bertanding di 17 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti, tambahan satu kerusi berbanding pada PRU-14.

Pengerusinya Datuk Seri Hasni Mohammad berkata, tambahan satu kerusi itu membabitkan Parlimen Simpang Renggam yang sebelum ini ditandingi calon Gerakan.

Katanya, hasrat Umno Johor itu akan disampaikan kepada pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) bagi tindakan lanjut dan kelulusan.

"Kerusi Parlimen Simpang Renggam dulunya ditandingi calon dari Gerakan namun kini parti itu sudah bersama Perikatan Nasional (PN) .

"Oleh itu, Umno Johor merancang untuk bertanding di kerusi Parlimen Simpang Renggam dan merasakan ia sesuai dengan keadaan semasa," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas penyerahan daging korban Umno Bahagian Pontian di Benut, hari ini.

Pada PRU-14, calon Gerakan Liang Teck Meng tewas kepada Dr Maszlee Malik yang ketika itu bersama Parti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dengan majoriti 3,475. Maszlee menyertai PKR pada November tahun lalu.

Pada Jun 2018, Gerakan mengumumkan keluar BN untuk menjadi parti bebas yang konstruktif.

Pada PRU-14, Umno bertanding 16 kerusi Parlimen, MCA lapan kerusi dan MIC satu kerusi di Johor.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Julai 2022 @ 8:50 PM