ASYRAF (tengah)  bercakap pada majlis Pelancaran Jentera Pilihanraya  BN Parlimen Sepang. FOTO Samadi Ahmad
ASYRAF (tengah) bercakap pada majlis Pelancaran Jentera Pilihanraya BN Parlimen Sepang. FOTO Samadi Ahmad
Samadi Ahmad

Sepang: Senarai calon Barisan Nasional (BN) yang akan bertanding bagi kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dijangka diumumkan Selasa ini.

Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, siapa pun yang dipilih sebagai calon paling penting BN akan menang kerana dari segi rekod prestasi parti ini mentadbir negara secara kolektif dan bukan individu.

Katanya, BN bukan parti yang mementingkan individu tertentu kerana pemimpin boleh datang dan pergi namun prinsip perjuangan dan dasar-dasar parti perlu diutamakan bagi menjaga keharmonian semua kaum.

"Asas ini menjadi titik keutamaan BN dan tidak sekali-kali kita kompromikan.

"Bagi jumlah calon yang bakal ditandingi Pergerakan Pemuda Umno, tunggu pengumuman dibuat pimpinan tertinggi. Senarai calon dijangka diumumkan Selasa ini," katanya kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya BN Parlimen Sepang di Kompleks Muhibbah, Tanjung Sepat di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi BN Sepang, Noorazli Said; Ketua MCA Sepang, Datuk Ng Chok Sin dan Ketua MIC Sepang, Datuk V Gunalan.

Ketika ditanya kawasan mana yang bakal ditandingi pada PRU-15, Asyraf enggan memberi sebarang komen.

Katanya, beliau menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti sama ada memilih beliau untuk bertanding pada PRU-15.

Khabar angin bertiup kencang mengatakan beliau dijangka diketengahkan UMNO dan BN untuk bertanding di kerusi Parlimen Gerik di Perak.

Kerusi itu boleh dianggap kubu kuat UMNO dan kini kosong selepas penyandangnya, Allahyarham Datuk Hasbullah Osman meninggal dunia akibat sakit jantung di Raub, Pahang, pada 16 November 2020.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Oktober 2022 @ 2:03 PM