HANYAN (kanan) ketika sidang media berhubung kejadian dua suspek langgar lari dan curi kenderaan. FOTO ROSLI ILHAM
HANYAN (kanan) ketika sidang media berhubung kejadian dua suspek langgar lari dan curi kenderaan. FOTO ROSLI ILHAM
Rosli Ilham


Chukai: Polis sudah mengenalpasti identiti dua suspek yang melarikan diri selepas melanggar mati seorang penunggang motosikal dan mencuri sebuah kereta lain di Kilometer 269 Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2), semalam.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, kedua-dua suspek berusia 20 dan 30-an itu adalah penduduk tempatan.

"Polis sedang memburu kedua-dua suspek dan akan membuat tangkapan dalam tempoh terdekat.

"Hasil semakan dilakukan, polis mendapati seorang daripada suspek itu mempunyai rekod lampau berhubung dengan kesalahan dadah," katanya.

Beliau berkata, kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

Menurutnya, siasatan polis mendapati kereta Perodua Myvi yang terbabit kemalangan itu adalah milik seorang guru dan diberikan kepada adiknya untuk mengusahakan perkhidmatan sewa kereta di Kuantan.

"Siasatan polis mendapati kereta itu disewa seorang wanita dua hari lalu dan wanita itu turut mempunyai rekod lampau berkaitan dengan seksyen 380 Kanun Keseksaan," katanya.

Beliau berkata, wanita terbabit akan dikesan untuk siasatan sama ada kereta itu dipinjamkan pula kepada kedua-dua suspek atau sebaliknya.

Menurutnya, pihaknya turut menerima laporan kereta Nissan Grand Livina dilarikan kedua-dua suspek itu ditemui dan ditinggalkan suspek di Kuantan.

Dalam kejadian pada jam 1.15 tengah hari semalam, kedua-dua suspek yang menaiki kereta Perodua Myvi melanggar seorang penunggang motosikal di Kilometer 269 LPT2 dekat Cheneh sehingga menyebabkan mangsa maut di tempat kejadian.

Kedua-dua suspek melarikan diri sebelum kereta dipandunya itu tersadai kira-kira dua kilometer dari tempat kejadian.

Mereka kemudian melarikan kenderaan Nissan Grand Livina milik seorang lelaki yang berhenti bertanya kepada suspek mengenai tindakan mereka melarikan diri selepas melanggar mangsa.

Berita berkaitan

'Dah langgar lari, curi kereta pula'

'Nyaris langgar ibu saya'

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Februari 2022 @ 11:31 AM