LAPORAN Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN Harian Metro sebelum ini.
Raja Noraina Raja Rahim


POLIS terpaksa melepaskan dua das tembakan ke arah tayar kereta dinaiki dua lelaki dipercayai pengedar dadah yang cuba melanggar anggota polis ketika ditahan, Isnin lalu.

Tembakan itu menyebabkan kereta berhenti dan kedua-dua suspek dikatakan melarikan diri, namun polis menemui satu paket dadah disyaki syabu dalam kenderaan itu.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, semasa anggota bertugas di persimpangan lampu isyarat Jalan Genting Klang susur Jalan Air Panas melihat kereta jenis Nissan Teana melanggar lampu isyarat dalam kejadian 4.30 petang.

"Anggota (polis) cuba menahan kereta itu untuk pemeriksaan namun suspek memecut laju ke arah Jalan Gombak. Anggota mengekori suspek dengan menaiki motosikal dan suspek menghimpit kenderaan serta melanggar beberapa kenderaan lain.

"Ketika keadaan lalu lintas sesak, anggota dapat menahan kereta itu tetapi suspek cuba melanggarnya.

"Anggota terpaksa melepaskan dua das tembakan ke arah tayar hadapan bagi mempertahankan diri kerana diancam," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zulkefly berkata, suspek bagaimanapun tidak berhenti dan terus memecut laju menuju Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) sebelum terbabas di pembahagi jalan.

Beliau berkata, kedua-dua suspek melarikan diri dan pemeriksaan polis dalam kereta itu menemui sepaket plastik lutsinar disyaki syabu.

"Semakan ke atas kenderaan itu didapati milik seorang wanita beralamat di Senai, Johor," katanya.

Katanya, polis kini sedang giat mengesan suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, video berdurasi 42 saat tular di media sosial yang memaparkan seorang anggota polis mengejar sebuah kereta dan mengacukan pistol mengarah suspek memberhentikan kenderaannya tetapi usaha itu gagal.

Berita berkaitan

  • Tembak tayar kereta pengedar dadah
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Mei 2020 @ 2:40 PM