BUNGKUSAN mengandungi daun ketum yang dirampas APMM Zon Kuala Kedah. FOTO ihsan APMM
BUNGKUSAN mengandungi daun ketum yang dirampas APMM Zon Kuala Kedah. FOTO ihsan APMM
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Tindakan mencurigakan bot nelayan tempatan kelas A di muara Kuala Kedah pagi semalam, membongkar kegiatan penyeludupan 1.2 tan daun ketum oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Kuala Kedah.

Terdahulu, bot itu memecut laju selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa sebelum pengendalinya terjun ke paya bakau dan meloloskan diri dalam kejadian 6 pagi semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, pihaknya berjaya mengesan kedudukan bot itu pada 0.9 batu nautika timur laut dari muara Kuala Kedah.

"Sejurus menerima maklumat, bot ronda diatur gerak ke lokasi untuk melakukan serbuan.

"Namun sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, suspek bertindak menukar haluan memecut laju ke arah daratan dan terjun ke paya bakau lalu meloloskan diri.

"Hasil pemeriksaan ke atas bot menemukan 120 bungkusan plastik berwarna hitam disyaki daun ketum dengan berat dianggarkan sekitar 1.2 tan bernilai sekitar RM216,000," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Noor Azreyanti berkata, daun ketum itu dipercayai cuba diseludup keluar ke negara jiran melalui jalan laut.

Beliau berkata, ini berikutan permintaan tinggi disebabkan harga pasaran semasa daun ketum di Thailand mencecah lebih RM180 sekilogram, berbanding pasaran tempatan hanya sekitar RM30 saja.

"Semua daun ketum, bot termasuk enjin yang dianggarkan bernilai RM276,000 dirampas dan dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Kedah.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 yang memperuntukkan denda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih empat tahun atau kedua-duanya," katanya.

Beliau berkata, pihaknya mengalu-alukan aduan mengenai sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut dan maklumat boleh disalurkan melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Februari 2022 @ 11:21 AM