ANGGOTA Maritim Malaysia Zon Kuala Kedah menunjukkan sebahagian 750 kg daun ketum yang dirampas. FOTO ihsan APMM
ANGGOTA Maritim Malaysia Zon Kuala Kedah menunjukkan sebahagian 750 kg daun ketum yang dirampas. FOTO ihsan APMM
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menggagalkan cubaan menyeludup 750 kilogram (kg) daun ketum menerusi jalan laut, hari ini.

Ia susulan penahanan sebuah bot fiber tidak bernombor di 0.2 batu nautika dari Muara Kuala Sanglang pada 4 pagi.

Pengarah APMM Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, pemeriksaan ke atas bot yang ditinggalkan itu menemui 75 bungkusan plastik hitam berisi 750 kg daun ketum dianggarkan bernilai RM135,000.

"Daun ketum itu dipercayai cuba diseludup keluar ke negara jiran melalui jalan laut berikutan harga pasaran semasa di Thailand mencecah lebih RM180 sekilogram, berbanding tempatan yang hanya RM70 sahaja.

"Semua rampasan itu berserta bot fiber dan enjin yang dianggarkan RM198,000, dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, kes akan disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 kerana penyalahgunaan ketum termasuk mengimport, menjual, memproses dan lain-lain berkaitan bahan terbabit.

APMM memandang serius kegiatan penyeludupan selain pencerobohan di perairan negara, dan akan terus memperhebatkan operasi dan pemantauan bagi mengekang sebarang jenayah maritim.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan ataupun kecemasan di laut boleh menghubungi talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Ogos 2021 @ 1:32 PM