KETUM yang dirampas. FOTO Ihsan APMM
KETUM yang dirampas. FOTO Ihsan APMM
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Permintaan tinggi terhadap daun ketum di negara jiran menyebabkan ada pihak tertentu yang cuba menggunakan jalan laut untuk menyeludup 500 kilogram (kg) daun berkenaan, semalam.

Bagaimanapun, tindakan itu dikesan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kuala Kedah yang merampas daun ketum itu dalam sebuah bot fiber di perairan muara Kuala Kedah pada 2.55 pagi.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Noor Azreyanti Ishak berkata, hasil maklumat dan risikan, bot ronda APMM yang ketika itu sedang melakukan rondaan Op Aman mengesan bot fiber berkenaan tanpa nombor pendaftaran yang bergerak menuju keluar dari muara Kuala Kedah dalam keadaan mencurigakan.

Beliau berkata, sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, suspek bertindak nekad terjun ke laut dan berenang melarikan diri ke kawasan paya bakau berhampiran dan berjaya meloloskan diri.

"Hasil pemeriksaan lanjut di bot itu mendapati terdapat beberapa bungkusan plastik hitam dan satu ruang simpanan ikan yang berisi bungkusan kecil yang disyaki daun ketum dengan berat kira-kira 500 kg yang anggaran nilainya RM90,000.

"Kesemua daun ketum terbabit dipercayai cuba diseludup keluar ke negara jiran mengikuti jalan laut," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Noor Azreyanti berkata, berdasarkan maklumat dan risikan juga mendapati, harga pasaran semasa daun ketum di Thailand mencecah sehingga RM180 sekilogram, berbanding pasaran tempatan hanya kira-kira RM40 sahaja.

Beliau berkata, semua hasil rampasan termasuk bot fiber dan enjin dianggarkan bernilai RM140,000 itu, dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.

"Kes akan disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 kerana penyalahgunaan ketum termasuk mengimport, menjual, memproses dan lain-lain berkaitan bahan terbabit.

"Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih daripada RM10, 000 atau penjara tidak lebih empat tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Noor Azreyanti berkata, sepanjang bulan ini, tiga kes rampasan daun ketum berjaya ditumpaskan dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM380,000.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 April 2021 @ 8:27 AM