Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Cubaan menyeludup dua tan daun ketum menggunakan bot fiber menerusi jalan laut gagal apabila perbuatan itu berjaya dikesan pihak berkuasa pada kedudukan 0.2 nautika dari muara Kuala Sanglang, Jumaat lalu.

Pengarah Maritim Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata, rampasan dilakukan jam 2 pagi berdasarkan maklumat dan intipan yang dilakukan.

Beliau berkata, dalam kejadian itu, dua bot ronda Maritim Malaysia diatur gerak ke lokasi dan mengesan dua bot fiber tanpa nombor pendaftaran bergerak dalam keadaan gelap dan mencurigakan, menghala keluar dari Kuala Sanglang sekitar jam 1.50 pagi.

"Sebaik menyedari pihak berkuasa, tekong kedua-dua bot fiber itu bertindak menukar haluan serta memecut laju ke arah berbeza menuju ke daratan dengan meninggalkan bot dan melarikan diri ke kawasan paya bakau berhampiran.

"Pemeriksaan terhadap kedua-dua bot berkenaan mendapati terdapat 190 bungkusan plastik hitam disyaki daun ketum dengan anggaran berat lebih kurang dua tan yang dianggarkan RM360,000," katanya pada sidang media di Pangkalan Maritim Malaysia di Kota Marina, Kuala Kedah, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Azreyanti Ishak.

Mohd Zawawi berkata, kesemua daun ketum berkenaan dipercayai cuba diseludup keluar ke negara jiran melalui jalan laut dan mungkin dilakukan oleh sindiket yang sama.

Beliau berkata, harga pasaran semasa daun ketum di Thailand mencecah sehingga RM180 sekilogram berbanding pasaran tempatan hanya sekitar RM70.

"Aktiviti penyeludupan semakin rancak melalui jalan laut berikutan penutupan pintu sempadan negara serta harga pasaran yang tinggi di Thailand.

"Harga pasaran yang tinggi di negara jiran juga dilihat menjadi faktor pendorong kepada aktiviti jenayah ini terutamanya "transporter" (penghantar) yang dianggarkan dibayar sekitar RM350 hingga RM800 bagi setiap hantaran berdasarkan berat timbangan," katanya.

Menurut Mohd Zawawi berkata, semua hasil rampasan serta bot fiber dan enjin dianggarkan bernilai RM390,000 dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi tindakan lanjut.

"Kes akan disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 kerana penyalahgunaan ketum termasuk mengimport, menjual, memproses dan lain-lain berkaitan bahan berkenaan.

"Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih empat tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Mohd Zawawi berkata, kejayaan serbuan ini adalah hasil maklumat dan risikan serta intipan berterusan selepas rampasan penyeludupan daun ketum pada 4 Ogos lalu sebanyak 750 kilogram di kawasan perairan Kuala Kedah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Ogos 2021 @ 3:04 PM