LEBIH satu tan daun ketum ditemui dalam sebuah bot fiber tanpa nombor yang dikesan cuba diseludup berjaya ditahan APMM Zon Maritim Kuala Kedah. FOTO Ihsan APMM
LEBIH satu tan daun ketum ditemui dalam sebuah bot fiber tanpa nombor yang dikesan cuba diseludup berjaya ditahan APMM Zon Maritim Kuala Kedah. FOTO Ihsan APMM
Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: Cubaan menyeludup 103 bungkusan plastik hitam yang mengandungi lebih satu tan daun ketum ke negara jiran menggunakan jalan laut gagal apabila bot fiber tanpa nombor berjaya dikesan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), hari ini.

Pengarah Zon APMM Kuala Kedah Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, bot fiber itu dikesan sedang menuju keluar dari muara Kuala Kedah dalam keadaan mencurigakan pada 6.45 pagi.

Menurutnya, sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, suspek bertindak menukar haluan dengan memecut laju ke arah daratan berhampiran dan bertindak melarikan diri.

Katanya, pemeriksaan terhadap atas bot berkenaan kemudiannya menemui bungkusan plastik warna hitam disyaki berisi daun ketum dengan anggaran berat 1.03 tan yang disorokkan di dalam bahagian bot yang sudah diubah suai.

"Kesemua bungkusan hitam daun ketum, bot serta enjin yang dianggarkan bernilai RM505,400 dirampas untuk siasatan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 kerana penyalahgunaan ketum termasuk mengimport, menjual, memproses dan lain-lain berkaitan bahan berkenaan.

"Bagaimanapun, tiada tangkapan dilakukan dan pihak kami akan menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Noor Azreyanti berkata, pihaknya percaya individu terbabit dipercayai menggunakan jalan laut sekadar untuk mencuba namun tidak menyedari kegiatan mereka berjaya dikesan pihaknya.

Katanya, ia adalah rampasan kedua pada bulan ini yang mana rampasan pertama dilakukan awal bulan ini membabitkan lima tan daun ketum yang cuba diseludup ke negara jiran.

"Kami mengalu-alukan aduan mengenai sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut boleh disalurkan melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon APMM Kuala Kedah di talian 05-7310579," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 January 2022 @ 4:40 PM