Aizat Sharif


Kangar: Komuniti sukan lasak seperti papan selaju dan basikal BMX di Perlis gembira dengan siapnya taman papan selaju (skatepark) dan BMX dikenali sebagai 'Extreme Park' terletak berhampiran kawasan parkir di belakang Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan dan Prasarana Awam, Pengangkutan, Belia dan Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri Hamizan Hassan berkata, Extreme Park yang dibina dengan kos RM180,000 dan siap 31 Disember lalu itu sudah digunakan sepenuhnya oleh penggiat sukan berkenaan.

"Di Perlis, kita masih mempunyai pemain atau peminat sukan lasak papan selaju dan basikal BMX.

"Sebelum ini, komuniti ini tiada tempat khusus untuk aktif dalam sukan ini. Mereka bermain di merata tempat seperti di jalan raya atau di taman perumahan.

"Komuniti ini juga selalunya mereka sendiri laluan atau hadangan besi untuk digunakan bagi mempamerkan kemahiran," katanya.

Beliau ditemui selepas majlis penyerahan Projek Kerja Membina dan Menyiapkan Sebuah Taman Skate Park dan Lain-Lain Kerja Berkaitan di Negeri Perlis di Extreme Park, Jalan Tun Razak di sini, semalam.

HAMIZAN (berdiri enam dari kanan) bergambar bersama penggiat sukan papan selaju dan basikal BMX Perlis selepas pelancaran ‘Extreme Park’ Kangar. FOTO AIZAT SHARIF
HAMIZAN (berdiri enam dari kanan) bergambar bersama penggiat sukan papan selaju dan basikal BMX Perlis selepas pelancaran ‘Extreme Park’ Kangar. FOTO AIZAT SHARIF

Katanya, kerajaan negeri melihat pembangunan belia ini amat penting kepada negeri dan terpanggil untuk memberikan satu platform yang teratur buat komuniti berkenaan.

"Kami melihat kesungguhan komuniti ini dan kebetulan, kami mempunyai tapak ini. Kerajaan negeri kemudiannya setuju untuk memanfaatkan tapak berkenaan," katanya.

Sementara itu, wakil komuniti basikal BMX Perlis, Hafiz Harun, 40, yang aktif dalam sukan basikal BMX sejak pertengahan 1990-an di Perlis berkata, kewujudan Extreme Park ini memberi dimensi baru kepada pemain basikal BMX serta papan selaju di negeri ini.

Selama ini, katanya, mereka terpaksa mencari tempat sendiri untuk bermain sukan lasak berkenaan.

"Berbanding negeri lain, kita memang tiada kemudahan taman khusus untuk sukan papan selaju di Perlis.

"Peminat serta pemain papan selaju, terutama sekitar pada era 90-an sehingga 2000, kebanyakannya akan memenuhi Taman Lencongan 2, Kangar atau dikenali dalam kalangan golongan muda dahulu sebagai 'Taman Rasyidah Utama'," katanya.

Menurutnya, ketiadaan tempat khas untuk komuniti berkenaan menyebabkan ramai dalam kalangan peminatnya 'menggantung' papan selaju serta basikal BMX masing-masing.

Kata Hafiz, ada kira-kira 50 pemain papan selaju serta basikal BMX yang masih aktif dan kewujudan Extreme Park ini membantu meningkatkan lagi minat komuniti berkenaan untuk terus aktif.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Februari 2022 @ 1:03 PM