Aizat Sharif


Kangar: Di saat ramai remaja sebayanya menghabiskan masa dengan telefon bimbit dan permainan video dalam talian, Muhammad Airil Uwais Khairul Azhar, 13, sebaliknya gemar mengasah bakatnya dalam sukan basikal.

Menggunakan basikal BMX Eastern yang diberikan bapanya, remaja yang bakal melanjutkan pelajaran ke peringkat menengah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Sirajuddin, Jejawi, Arau pada 4 April hadapan itu akan memperagakan pelbagai kemahiran gaya bebas atau 'freestyle' secara akrobatik menerusi basikalnya itu.

Muhammad Airil berkata, dia tidak menyangka untuk menjadi seorang 'freestyle' BMX kerana segalanya bermula ketika dia berusia 10 tahun apabila sering melihat bapanya, Khairul Azhar Tahar, 40 yang juga salah seorang penggiat basikal BMX di Perlis menunjukkan skil pelbagai gaya bebas ketika berlatih di rumah mereka di Kampung Binjal, Chuping.

"Pada masa itu saya masih belajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Jejawi, Arau dan apabila selalu melihat ayah berbasikal menggunakan basikal BMX sambil menunjukkan aksi akrobatiknya di khalayak ramai maka timbul minat untuk menjadi pemain basikal BMX secara 'freestyle'.

"Saya minta bapa saya untuk ajarkan beberapa skil yang lazimnya digunakan oleh seorang penunggang BMX 'freestyle' dan sekiranya bapa saya tidak dapat bersama kerana kesibukan tugasnya, maka saya akan menonton lama sosial YouTube untuk mempelajari skil terkini bagi penunggang basikal BMX 'freestyle'.

"Aksi seperti 'scorpion' yang lazimnya dilakukan dengan seolah kaki di udara sementara kepala pula berada di besi pemegang basikal adalah sesuatu yang memerlukan kekuatan tangan untuk melakukannya dan ini adalah antara kemahiran ditunjukkan bapa kepada saya," katanya ketika ditemui di 'Extreme' Park Kangar, di sini semalam.

Katanya, walaupun ada pihak yang mengatakan kepadanya bahawa segala aksi 'freestyle' yang dilakukan pada basikal BMXnya itu agak berbahaya tetapi dia tidak pernah melakukannya di jalan raya sebaliknya berlatih segala kemahiran berkenaan di halaman rumah atau di taman rekreasi awam.

"Lazimnya, saya akan berlatih pada waktu petang sama ada di halaman rumah saya atau di Taman Rekreasi Tasik Melati ditemani bapa saya menggunakan basikal saya dari jenis BMX Eastern manakala ayah saya pula menggunakan basikal BMX dari jenama Total BMX.

"Untuk menguasai kemahiran ini bukanlah mudah, kadang kala saya terjatuh beberapa kali dalam cuba melakukan imbangan badan terhadap segala teknik dibuat namun ia saya anggapkan sebagai cabaran," katanya.

Muhammad Airil berkata, disebabkan kebolehannya itu, maka dia dijemput Jabatan Belia dan Sukan Negeri Perlis untuk memperagakan aksinya 'freestyle' BMXnya itu semasa Hari Sukan Negara pada tahun lalu.

"Selain itu juga, pada Februari lalu, saya dijemput guru di SK Jejawi untuk menunjukkan aksi 'freestyle' menggunakan basikal BMX ini semasa Majlis Perpisahan Murid Tahun Enam di sekolah dan ia adalah antara peristiwa penting dalam hidup saya terutama apabila bergiat menjadi seorang pemain 'freestyle' BMX di Perlis.

"Saya lihat tidak ramai remaja kini berminat dalam sukan berbasikal terutama menggunakan basikal BMX kerana menghabiskan masa dengan telefon atau permainan dalam talian," katanya.

Muhammad Airil adalah anak kedua daripada empat adik beradik dan bakat serta komitmennya dilihat sebagai pelapis kepada sukan basikal BMX di Perlis.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Mac 2022 @ 12:19 PM
Penunggang basikal cilik sering membuat pelbagai aksi ‘freestyle’ menggunakan basikal BMX Eastern yang diberikan oleh bapanya. FOTO Aizat Sharif
Penunggang basikal cilik sering membuat pelbagai aksi ‘freestyle’ menggunakan basikal BMX Eastern yang diberikan oleh bapanya. FOTO Aizat Sharif