PESERTA yang menyertai Sukan Skateboard DIY di Pejabat Daerah Kubang Pasu.
PESERTA yang menyertai Sukan Skateboard DIY di Pejabat Daerah Kubang Pasu.
Oleh Aizat Sharif


WALAUPUN dunia kini dibayangi kepesatan perkembangan sukan elektronik atau e-Sport, sukan ekstrem atau X-Games masih mendapat tempat di hati masyarakat terutama menerusi permainan papan selaju atau skateboard.

Malah di negara ini, permainan papan selaju masih terus dimainkan terutama dengan kewujudan pertandingan seperti X-Games dan komuniti pemain papan selaju.

Mereka bermain dalam pelbagai keadaan di taman papan selaju (skate park) yang disediakan atau direka khas sendiri.

Namun begitu, kewujudan taman papan selaju masih kurang di negara ini termasuk di Kedah apabila hanya bandar besar dan pesat seperti Alor Setar, Langkawi dan Kulim menjadi tumpuan penyediaan kemudahan seperti ini.

Namun atas keprihatinan pihak berkuasa tempatan (PBT) seperti Pejabat Daerah Kubang Pasu dan Majlis Perbandaran Kubang Pasu (MPKP), taman papan selaju ini diwujudkan di Jitra.

Pegawai Daerah Kubang Pasu, Datuk Mohd Fisol Md Noh berkata, kewujudan Skatepark Do-It-Yourself (DIY) Jitra di Taman Awam Jitra ini yang pertama di daerah Kubang Pasu.

Ia dilihat menepati jiwa anak remaja dan belia yang sukakan cabaran di samping menerapkan gaya hidup sihat.

“Tapak projek Skatepark DIY Jitra ini asalnya gelanggang bola jaring yang tidak dimanfaatkan serta terbiar.

“Ia dibina semula untuk menjadi skatepark di daerah ini selama 12 hari menggunakan 70 sukarelawan daripada pelbagai jabatan dan agensi seperti Pejabat Daerah Kubang Pasu, MPKP, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Universiti Utara Malaysia (UUM), Pejabat Belia dan Sukan Negeri dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Dengan peruntukan paling minimum, binaan ranjau pada taman ini direka bagi memberi gabungan yang harmoni kepada kumpulan sasaran iaitu skater awal dan berpengalaman,” katanya.

Menerusi prasarana ini, ia dapat menyemai dan melahirkan bakat baharu dalam sukan ini.

“Malah, prasarana ini juga tetap mementingkan aspek kesedaran awam dalam memelihara alam sekitar dan kemudahan disediakan.

“Selain itu, aspek keselamatan tetap diutamakan dengan mengambil kira lokasi ini yang memudahkan ibu bapa dan penjaga memantau keberadaan anak mereka di kawasan ini,” katanya.

Sementara itu, bagi komuniti papan selaju Kedah pula, kewujudan Skatepark DIY Jitra sekurang-kurangnya memberi nafas baharu dalam permainan ini yang masih mempunyai peminatnya tersendiri.

Bagi pereka bina taman papan selaju yang juga atlet papan selaju berpengalaman, Mohd Shahrulnizam Ahmad, 40, atau lebih dikenali sebagai Sunny, kewujudan taman papan selaju ini akan merancakkan perkembangan sukan ini terutama di Jitra.

“Di Kedah, kemudahan skatepark tidak banyak berbanding di Alor Setar, Langkawi dan Kulim. Jika pemain skateboard di sekitar sini mahu bermain, mereka terpaksa pergi ke Taman Jubli Emas Alor Setar.

“Namun dengan adanya skatepark di Jitra ini, sekurang-kurangnya minat pemain papan selaju ini akan bertambah malah mereka boleh menggunakan kemudahan ini untuk bermain sepuas-puasnya di samping melatih skil permainan mereka,” katanya.

Rakannya, Mohd Kamal Md Zaki, 31, yang dikenali sebagai Tony Kamal dalam kalangan komuniti pemain papan selaju, menyifatkan keprihatinan PBT dalam menyediakan kemudahan ini membuktikan pihak terbabit peka dengan perkembangan remaja dan belia terutama dalam pembangunan sukan ini.

“Ini bagus kerana pemain papan selaju di sini terdiri daripada pelbagai peringkat usia.

“Jadi ini dapat membantu pembangunan sukan ini berkembang di daerah ini dan seterusnya ke peringkat negeri,” katanya.

Bagi pemain papan selaju cilik, Nur Aydie Aqeela Mushadi, 11, dari Jitra, taman papan selaju ini dapat dijadikan platform buatnya meningkatkan kemahiran dalam sukan ini.

“Saya sudah bermain sukan ini sejak usia lima tahun dengan papan selaju yang kecil. Namun kini saya mencuba bermain menggunakan papan selaju yang besar sambil mengenakan alatan keselamatan.

“Saya gembira ada kemudahan ini kerana dapat berlatih kemahiran yang ada di samping berguru dengan skater senior dan berpengalaman,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Disember 2019 @ 7:00 AM