AKSI peserta ketika pelepasan.
AKSI peserta ketika pelepasan.
PESERTA bergambar bersama ahli keluarga yang datang memberi sokongan.
PESERTA bergambar bersama ahli keluarga yang datang memberi sokongan.
Mohd Azam Shah Yaacob


Agresif dan sungguh mendebarkan. Itu antara perasaan saat melihat 120 peserta Kejohanan BMX Terbuka Jemputan Malaysia 2016 (BMX Open 2016) mempamerkan aksi ekstrem di Damai Extreme Park, Batu Caves, Selangor baru-baru ini.

Mana tidaknya, ada ketika mereka ‘terbang’ di udara, meluncur dengan laju dan seakan-akan ‘berbaring’ di selekoh bagi membuktikan kepantasan dan kemampuan mengawal basikal dalam trek lasak yang ditempuhi.

Lebih mendebarkan ada antara aksi peserta kanak-kanak semuda usia tujuh tahun. Biarpun kecil, kehebatan kawalan berbasikal mereka sangat terpuji. Ini membuktikan aksi lasak sukan BMX bukan sesuatu yang susah dilakukan sebaliknya memerlukan bimbingan dan latihan.

Dalam kejohanan ini, sebanyak 14 kategori dipertandingkan membabitkan kategori dewasa, remaja dan kanak-kanak lelaki serta perempuan.

Peserta perlu melalui trek 360 meter membabitkan dua laluan lurus panjang, dua laluan lurus pendek dan tiga selekoh. Aksi mendebarkan bermula di garisan pelepasan berikutan perlu menuruni bukit setinggi tujuh meter hanya selebar 10 meter sebelum perlu menempuh tiga laluan berbukit.

Di laluan inilah, aksi agresif peserta kelihatan apabila mereka melayang beberapa kali ke udara sebelum menempuh selekoh ‘pusingan U’. Tanpa kawalan dan teknik yang betul, pasti ketinggalan di belakang atau terjatuh. Namun, semua peserta berupaya melakukannya dan mempamerkan aksi hebat.

Penganjur BMX Open 2016, Nazali Talib berkata, kejohanan berkenaan yang masuk tahun keempat berjaya mencungkil bakat dalam sukan lasak BMX. Ia juga persediaan menyertai Sukan Malaysia (SUKMA) 2016 di Sarawak pada Julai depan.

Katanya, pada masa kini pelapis profesional bagi sukan lasak BMX boleh dikira dengan jari berikutan kurangnya pendedahan dan penganjuran pada peringkat tempatan.

“Harapan kita penganjuran ini dapat mencungkil bakat baru seterusnya mereka menjadi pelumba profesional untuk persaingan pada Sukan SEA dan Sukan Asia.

“Jadi, pada hari ini kita dapati ada bakat terpendam boleh diasah serta dibentuk menjadi pelumba profesional,” katanya.

Menurut Nazali, dalam kejohanan kali ini pihaknya turut menerima penyertaan dari Indonesia, Singapura dan Thailand. Membuktikan sukan ini ada tempat dan peminatnya. Malah, pihaknya bercadang menjadikan trek di Damai Extreme Park ini sebagai trek yang menepati piawaian perlumbaan bertaraf antarabangsa.

“Buat masa ini, trek ini menepati konsep kelas perlumbaan dan profesional, ia hanya perlu dibangunkan dengan fasiliti lengkap sebuah trek perlumbaan.

“Harapan kita, satu hari nanti kita dapat melahirkan lebih ramai pelumba profesional sukan lasak yang berdaya mengharumkan nama negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Mei 2016 @ 5:01 AM