Foto hiasan
Foto hiasan
Yusmizal Dolah Aling

Kuala Lumpur: Amalan melompat parti hanya akan menyebabkan ketidakstabilan politik di Malaysia dan memberi kesan buruk kepada ekonomi negara.

Dalam tinjauan yang dijalankan Cent-GPS, sebuah firma kajian sains politik, majoriti responden percaya bahawa krisis politik yang berlaku adalah disebabkan ada Ahli Parlimen yang melompat parti.

Cent-GPS dalam kenyataannya berkata, tinjauan membabitkan 1,100 responden itu juga mendapati 72 peratus menyedari tindakan Ahli Parlimen melompat parti, manakala sembilan peratus yang lain mengatakan sebaliknya.

Menurutnya, sebanyak 46 peratus daripada responden mengakui keadaan itu menyebabkan mereka hilang minat dalam politik.

"Ketika ditanya adakah Malaysia harus melaksanakan Undang-Undang Anti Lompat Parti, sebanyak 50 peratus mengatakan ya, manakala 37 peratus mengatakan mungkin dan 12 peratus mengatakan tidak.

"Mengenai hukuman yang patut dikenakan, sebanyak 43 peratus mengatakan Ahli Parlimen harus diharamkan untuk bertanding dalam pilihan raya akan datang, manakala 34 peratus lagi berpendapat harus segera mengosongkan kerusi.

"Sebanyak 14 peratus pula percaya mereka perlu didenda, manakala lapan peratus lagi mengatakan Ahli Parlimen terbabit harus dipenjara," katanya.

Menurutnya, sebanyak 53 peratus responden percaya bahawa krisis politik semasa berlaku adalah kerana Ahli Parlimen lompat parti.

Katanya, sebanyak 12 peratus responden yang tidak mahu Undang-Undang Anti Lompat Parti dilaksanakan.

"Oleh itu, sekalipun hanya minoriti yang menilai bahawa tindakan lompat parti memberi kesan kepada mereka, kebanyakan rakyat Malaysia masih percaya bahawa krisis politik semasa dapat dielakkan dengan pelaksanaan Undang-Undang Anti Lompat Parti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Disember 2020 @ 4:28 PM