HANNAH Qatrunnada yang kini berusia 14 bulan memerlukan dana RM70,000 bagi membolehkannya melakukan pembedahan jantung dengan segera. FOTO ihsan One Hope Charity
HANNAH Qatrunnada yang kini berusia 14 bulan memerlukan dana RM70,000 bagi membolehkannya melakukan pembedahan jantung dengan segera. FOTO ihsan One Hope Charity
Nur Izzati Mohamad


Bukit Mertajam: Pasangan suami isteri yang pernah diuji apabila anak sulung mereka terpaksa dibedah kerana mempunyai masalah jantung lima tahun lalu, kini sekali lagi menerima nasib sama apabila anak bongsunya pula menghidap penyakit serupa dan juga memerlukan pembedahan segera.

Muhammad Qoyyum Zuki, 32, dan isterinya, Saziatul Idayu Muhammad Azhar, 30, tidak menyangka sekali lagi diuji selepas dimaklumkan anak bongsu mereka, Hannah Qatrunnada Muhammad Qoyyum yang kini berusia 14 bulan turut berdepan masalah jantung.

Bagaimanapun, kedua-duanya buntu mencari dana pembedahan yang dijangkakan membabitkan kos kira-kira RM70,000.

Pengerusi One Hope Charity And Welfare (One Hope Charity) Datuk Chua Sui Hau berkata, pasangan suami isteri itu tampil menceritakan permasalahan mereka kepada pihaknya dan memohon bantuan pembiayaan pembedahan bagi anak mereka.

"Mengikut rekod, pihak kita (One Hope Charity) pernah membiayai kos pembedahan anak sulung pasangan ini kira-kira lima tahun lalu melalui kutipan dana dari orang ramai.

"Kini, pasangan itu diuji lagi apabila anak bongsu mereka pula perlu melakukan pembedahan sama, tambahan pula keadaan anak mereka dilaporkan bertambah buruk yang mana perlu dibedah segera bagi menyelamatkan nyawa bayi ini," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, Hannah Qatrunnada dikesan mempunyai masalah jantung ketika melakukan pemeriksaan tiroid pada usianya mencecah satu bulan.

"Ini kerana ibunya mempunyai sejarah penyakit tiroid ketika mengandung dan ketika itulah pemeriksaan mendapati terdapat masalah pada jantung bayi berkenaan.

"Bapa bayi ini kehilangan pekerjaan sebelum ini, manakala isterinya pula seorang kerani tidak mampu untuk membiayai kos pembedahan yang amat tinggi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Februari 2022 @ 3:50 PM