Nayra Ufaira dibedah hari ini.
Nayra Ufaira dibedah hari ini.
Oleh Nur Izzati Mohamad


Bukit Mertajam: Bayi perempuan berusia sembilan bulan yang menghidap jantung berlubang akan menjalani pembedahan hari ini, selepas dimasukkan ke wad sebuah hospital swasta semalam.

Terdahulu, Nayra Ufaira Hairul memerlukan dana RM80,000 bagi menjalani pembedahan berkenaan dan ia berjaya dikumpul pertubuhan kebajikan, One Hope Charity and Welfare (One Hope Charity) dalam tempoh 31 jam sahaja.

Pengerusi One Hope Charity Datuk Chua Sui Hau berkata, pihaknya berterima kasih atas keprihatinan semua yang menyumbang bagi membantu bayi berkenaan.

"Ibu bapa bayi ini tampil memohon bantuan kepada pihak kita memandangkan keadaan anak mereka yang sangat kritikal dan memerlukan pembedahan segera.

"Syukur, hasil keprihatinan semua tanpa mengira bangsa dan agama yang menyumbang membolehkan dana RM80,000 dikumpulkan yang mana ibu bapa bayi ini amat terharu dengan sokongan yang diberikan," katanya.

Jelasnya, pihaknya juga sudah menghentikan kutipan dana serta merta sebaik sahaja sumbangan untuk membiayai kos pembedahan Nayra Ufaira diperoleh.

Sui Hau berkata, beliau kini memohon kepada semua rakyat Malaysia untuk terus mendoakan Nayra Ufaira supaya selamat menjalani pembedahan itu.

"Sebelum ini, keadaan tubuh Nayra Ufaira yang kecil tidak membolehkannya menjalani pembedahan dan kini berat badannya sudah mencapai tahap yang ditetapkan.

"Kita mendoakan yang terbaik untuk keselamatan bayi ini dan berharap semua juga dapat terus mendoakan Nayra Ufaira," katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, Nayra Ufaira yang dikesan menghidap jantung berlubang ketika berusia enam bulan memerlukan dana RM80,000 bagi menjalani pembedahan untuk menyelamatkan nyawanya.

Ibu bapanya yang bekerja sebagai operator pengeluaran di sebuah kilang tidak mampu membiayai kos pembedahan anak tunggal mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 January 2022 @ 2:48 PM