PING Ann  memerlukan dana sebanyak RM800,000 bagi menampung kos pembedahan dan rawatannya di sebuah hospital di Singapura. FOTO ihsan One Hope Charity
PING Ann  memerlukan dana sebanyak RM800,000 bagi menampung kos pembedahan dan rawatannya di sebuah hospital di Singapura. FOTO ihsan One Hope Charity
Nur Izzati Mohamad


Bukit Mertajam: Bayi perempuan yang mempunyai penyakit berkaitan genetik memerlukan dana RM800,000 dengan segera bagi menampung kos rawatan dan pembedahan di sebuah hospital di Singapura.

Teh Ping Ann yang berusia setahun sepatutnya ke Singapura bersama ibu bapa untuk menjalani pembedahan pemindahan sum-sum tulang pada 22 Februari lalu.

Bagaimanapun, bayi itu dilaporkan tiba-tiba pengsan dan pemeriksaan mendapati terdapat pendarahan otak hingga memerlukan dua pembedahan tempurung kepala dilaksanakan sehingga menelan kos sekitar RM800,000.

Bapa kepada bayi itu, Teh Ghee Lim, 37, yang bekerja sebagai jurutera elektronik tidak mampu membiayai kos rawatan yang terlalu tinggi kerana wang simpanannya sudah habis digunakan untuk pemeriksaan kesihatan anaknya itu termasuk menanggung perbelanjaan sepanjang enam bulan mereka sekeluarga berada di Singapura.

"Ini adalah perkara di luar dugaan kerana kami pergi ke hospital ini untuk pemindahan sum-sum tulang namun sebaliknya berlaku.

"Sebelum ini saya sudah kehilangan anak lelaki saya yang berdepan masalah sama dan saya tidak mahu berputus asa dengan berharap orang ramai dapat membantu anak perempuan saya," katanya yang berkorban menjadi penderma sum-sum tulang kepada anaknya.

Menurutnya, kos pembedahan pemindahan sum-sum tulang yang diterimanya sebelum itu adalah melalui dana yang dikumpul pertubuhan kebajikan One Hope Charity and Welfare (One Hope Charity) hasil kutipan orang ramai.

Sementara itu, Pengerusi One Hope Charity, Datuk Chua Sui Hau berkata, dana itu dikumpul pihaknya pada Disember tahun lalu, namun tidak menyangka perkara tidak diingini berlaku yang memerlukan kos tambahan sehingga RM800,000.

"Kita dimaklumkan bahawa bayi ini akan menjalani pembedahan sum-sum tulang tetapi dia mengalami pendarahan otak secara tiba-tiba yang memerlukan pembedahan kecemasan ke atas tempurung kepala perlu dilakukan.

"Disebabkan itu berlaku peningkatan kos rawatan dan selepas bermesyuarat serta melakukan perbincangan kita bersetuju membuat satu lagi kutipan dana untuk membiayai semua kos rawatan dan pembedahan bayi itu," katanya.

Beliau berkata, kutipan dana itu akan dihentikan serta-merta sebaik saja kos rawatan bagi bayi itu mencukupi yang ia boleh dilihat melalui laman sesawang www.onehopecharity.org atau melalui aplikasi One Hope Charity.

Sebarang pertanyaan lanjut boleh menghubungi talian 016-4192192, 019-2322192 atau 04-5399212.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Mac 2022 @ 12:33 PM