Hanif  memerlukan pembedahan jantung dengan segera dengan kos RM120,000. FOTO Ihsan One Hope Charity
Hanif memerlukan pembedahan jantung dengan segera dengan kos RM120,000. FOTO Ihsan One Hope Charity
Nur Izzati Mohamad

Bukit Mertajam: "Sebagai bapa saya cuma mahu lihat anak saya kembali sembuh dan membesar seperti kanak-kanak lain," kata Mahamad Sukri Ibrahim, 46.

Dia dan isterinya, Salma Man, 44, diuji apabila anak bongsu mereka, Muhammad Hanif yang kini berusia dua tahun berdepan masalah jantung kronik.

Bapa kepada empat anak itu berkata, dia terkejut apabila pemeriksaan doktor mendapati anaknya berdepan penyakit itu dan perlu dibedah segera.

"Namun pembedahan itu terpaksa ditangguhkan kerana doktor mendapati terdapat lebihan cecair dalam otak anak saya, selain masalah sel darah putih yang berlebihan.

"Selepas masalah itu terkawal, kini penyakit jantung yang dihadapi anak saya menyerang semula dan dia perlu melakukan pembedahan dengan segera, tambahan pula keadaan kesihatannya dikatakan semakin merosot," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Menurutnya, dia yang bekerja sebagai tukang kebun di sebuah sekolah di Baling, Kedah tidak mampu membiayai kos pembedahan yang dianggarkan berjumlah RM120,000.

"Pendapatan bulanan saya hanya sekitar RM1,000 sebulan, manakala isteri pula tidak bekerja kerana perlu menjaga anak-anak selain dia juga mempunyai masalah jantung.

"Saya buntu sangat mencari jalan sehinggalah sebuah hospital kerajaan di Pulau Pinang merujuk kes saya kepada sebuah badan bukan kerajaan (NGO) iaitu One Hope Charity yang kemudian pihak mereka bersetuju membantu hingga anak saya selamat menjalani pembedahan,"katanya.

Sementara itu, Pengerusi One Hope Charity Datuk Chua Sui Hau berkata, selepas melakukan beberapa pengesahan pihaknya bersetuju untuk membantu pasangan suami isteri berkenaan bagi mengutip dana daripada orang awam.

Menurutnya, kutipan dana itu akan dihentikan serta- merta sebaik sahaja kos pembedahan bagi kanak-kanak itu mencukupi yang ia boleh dilihat melalui laman sesawang www.onehopecharity.org atau melalui aplikasi One Hope Charity.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Februari 2022 @ 5:39 PM