MUHAMMAD Nur Irfan dirawat di NICU HPP kerana menghadapi masalah jantung kompleks. FOTO Ihsan One Hope Charity
MUHAMMAD Nur Irfan dirawat di NICU HPP kerana menghadapi masalah jantung kompleks. FOTO Ihsan One Hope Charity
Nur Izzati Mohamad


Bukit Mertajam: Sejak dilahirkan, Muhammad Nur Irfan Nizam yang kini berusia 40 hari tidak pernah pulang ke rumah.

Bayi lelaki itu hanya dirawat di unit rawatan rapi neonatal (NICU), Hospital Pulau Pinang (HPP) dan bergantung pada alat bantuan pernafasan akibat masalah jantung dihadapinya.

Bapa bayi berkenaan, Nizam Mustakin, 35, berkata, anaknya memerlukan pembedahan segera namun tidak mampu menampung kos pembedahan yang agak tinggi.

"Mengikut pakar jantung, anak bongsu saya mempunyai masalah jantung yang kompleks dan memerlukan sekurang-kurangnya tiga kali pembedahan bagi menyelamatkan nyawanya.

"Bagaimanapun, saya tidak mampu menampung kos pembedahan yang agak tinggi," katanya, di sini, hari ini.

Katanya, dia yang bekerja sebagai juruteknik di sebuah kompleks beli belah mempunyai pendapatan sekitar RM2,500 sebulan, manakala isteri tidak bekerja kerana mahu menjaga dua lagi anak mereka berusia sembilan dan 11 tahun.

"Isteri saya sebelum ini pernah menjual makanan untuk mencari pendapatan sampingan namun ia terhenti ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selain mahu memberi tumpuan kepada anak-anak," katanya.

Bagaimanapun, Nizam bernasib baik apabila kesukaran yang dihadapinya mendapat perhatian pertubuhan badan kebajikan, One Hope Charity and Welfare (One Hope).

Pengerusi One Hope, Datuk Chua Sui Hau berkata, keluarga itu bersetuju memberi kebenaran kepada pihaknya untuk melancar serta mengendalikan kutipan dana bagi menampung kos pembedahan Muhammad Nur Irfan.

"Kos pembedahan yang dianggarkan adalah sekitar RM50,000 dan kita mengalu-alukan orang ramai yang prihatin untuk menyumbang.

"Sumbangan boleh disalurkan menerusi lama sesawang www.onehopecharity.org atau melalui applikasi One Hope Charity," katanya.

Sebarang pertanyaan boleh menghubungi talian 016-4192192, 019-2322192 atau 04-5399212.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 November 2021 @ 4:30 PM