MUHAMMAD Habiburrahman memerlukan RM90,000 untuk pembedahan jantung segera bagi menyelamatkan nyawanya. FOTO Ihsan One Hope Charity
MUHAMMAD Habiburrahman memerlukan RM90,000 untuk pembedahan jantung segera bagi menyelamatkan nyawanya. FOTO Ihsan One Hope Charity
Nur Izzati Mohamad


Bukit Mertajam: Bayi lelaki pramatang yang dilahirkan dengan masalah jantung memerlukan pembedahan segera bagi menyelamatkan nyawanya.

Muhammad Habiburrahman Muhamad Arshad terpaksa dikejarkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) dari Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar, Kedah sehari selepas dilahirkan pada 25 Oktober lalu.

Ia susulan keadaan pernafasannya yang bermasalah dan memerlukan pembedahan jantung bagi melebarkan saluran darah yang sempit.

Bapanya, Muhamad Arshad Saib,44, berkata, bagaimanapun pembedahan itu hanya untuk sementara sahaja dan memerlukan pembedahan susulan bagi menyelamatkan anak bongsunya.

"Saya hanya bekerja menjual air di tepi jalan di Jitra dengan pendapatan sekitar RM1,000 hingga RM2,000 sebulan manakala isteri tidak bekerja kerana perlu menjaga tiga lagi anak kami yang lain.

"Anak bongsu saya perlu menjalani pembedahan segera dan saya buntu mencari wang, tambahan pula dengan kesempitan hidup yang dialami kami sekeluarga," katanya, di sini, hari ini.

Katanya, anak lelaki bongsunya itu kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) dan bergantung pada alat bantuan pernafasan.

Nasib yang dialami keluarga itu bagaimanapun mendapat perhatian pertubuhan kebajikan, One Hope Charity and Welfare (One Hope Charity).

Pengerusi One Hope Charity, Datuk Chua Sui Hau berkata, selepas kes dirujuk kepada pakar jantung, bayi berkenaan mempunyai pelbagai masalah yang memerlukan pembedahan segera dan perlu dijalankan dalam tempoh tiga hingga empat minggu ini.

"Kos pembedahan dianggarkan sekitar RM90,000 dan pihak keluarga memberi kebenaran kepada kita untuk mengumpul kos perubatan dari orang awam dan menguruskan urusan rawatan dengan pihak hospital," katanya.

Menurutnya, sumbangan boleh disalurkan menerusi laman sesawang www.onehopecharity.org atau melalui applikasi One Hope Charity.

Sebarang pertanyaan boleh menghubungi talian 016-4192192, 019-2322192 atau 04-5399212.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 November 2021 @ 3:36 PM