KEADAAN kenderaan yang terbabit kemalangan. FOTO ihsan Polis
KEADAAN kenderaan yang terbabit kemalangan. FOTO ihsan Polis
Mohd Fadly Samsudin


Kuala Lumpur: Dua lelaki maut manakala seorang parah dalam kemalangan membabitkan dua kereta dan sebuah van di Jalan Loke Yew menghala ke Cheras, semalam.

Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, Deputi Superintendan Shafie Daud berkata, dalam kejadian 6.40 pagi itu Proton Wira dinaiki dua lelaki dipercayai dipandu laju terbabas sebelum masuk ke laluan bertentangan.

Menurutnya, Proton Wira berkenaan kemudian turut melanggar van yang dalam perjalanan ke Cheras.

"Sebuah lagi kereta iaitu Perodua Myvi dipandu seorang lelaki gagal mengelak kenderaan yang merintangi jalan lalu melanggar bahagian depan Proton Wira berkenaan.

"Akibat pelanggaran itu, pemandu Proton Wira dikenali V Periakaruppan berusia 26 tahun serta pemandu Perodua Myvi, Ahmad Khusairi Ayop, 29 tahun, meninggal dunia ketika menerima rawatan kecemasan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Cheras," katanya.

Beliau berkata, penumpang Proton Wira parah di bahagian kepala manakala pemandu van hanya mengalami cedera ringan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Februari 2017 @ 10:27 AM