Foto hiasan
Foto hiasan
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Lapan penunggang motosikal mempamerkan aksi berbahaya termasuk lagak 'Superman' dan zig zag mengundang padah apabila ditahan polis di beberapa lokasi pada awal pagi hari ini.

Pasukan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman yang menjalankan Op Khas Samseng Jalanan mengesan kesemua individu berusia 15 hingga 24 tahun itu berlumba di Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban di kedua-dua arah.

Dalam kejadian pada 11.30 malam, pasukan terbabit mengekori sekumpulan penunggang motosikal melakukan aksi meniarap di atas motosikal sambil meluruskan kedua belah kaki ke belakang ketika bersaing sesama sendiri dan aksi zig zag di Kilometer (KM) 293 sehingga KM288 arah selatan.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Mohd Nadzri Hussain berkata, aksi yang dilakukan kumpulan penunggang motosikal itu berbahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya lain.

"Susulan itu, tiga suspek ditahan ketika berhenti di sebuah stesen minyak di Mambau, Seremban pada 12.10 tengah malam.

"Pada 12.15 tengah malam pula, pasukan JSPT mendapati terdapat sekumpulan penunggang motosikal lagi melakukan aksi yang sama di KM259 hingga KM266 arah utara.

"Anggota operasi yang mengekori mereka berjaya menahan dua suspek di sebuah stesen minyak di Persiaran Pusat Bandar Nilai," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Lapan lelaki yang ditahan dalam Op Khas Samseng Jalanan di Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban pada pagi hari ini. Foto Ihsan PDRM
Lapan lelaki yang ditahan dalam Op Khas Samseng Jalanan di Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban pada pagi hari ini. Foto Ihsan PDRM

Mohd Nadzri berkata, tiga lagi suspek berjaya ditahan di hadapan sebuah rumah di Kampung Baru Lanjut, Sepang, Selangor pada 1 pagi.

Menurutnya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan sebanyak 27 saman dikeluarkan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Februari 2022 @ 11:33 AM