ENAM individu berkenaan. FOTO Ihsan PDRM
ENAM individu berkenaan. FOTO Ihsan PDRM
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Tindakan tiga remaja lelaki menunggang motosikal secara berbahaya mengundang padah apabila mereka ditahan dalam Operasi Samseng Jalanan di Lebuhraya Persekutuan menghala ke Klang, tengah malam tadi.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Nadzri Hussain berkata, sepasukan pegawai dan anggota dari Unit Risikan dan Operasi JSPT Bukit Aman melakukan pemantauan di lokasi berkenaan, jam 12 tengah malam.

"Ketika pemantauan dilakukan, mereka melihat sekumpulan penunggang motosikal melakukan aksi menundukkan badan, bersaing sesama sendiri dan zig-zag bermula dari Kilometer (KM) 14.2 sehingga di KM 13.2 Lebuhraya Persekutuan, arah ke Klang.

"Kami menahan tiga penunggang motosikal berkenaan yang berusia antara 15 hingga 17 tahun itu selepas mereka memberhentikan kenderaan di perkarangan Kompleks Sukan Pandamaran Klang, jam 12.30 tengah malam," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Nadzri berkata, pihaknya turut menahan tiga lagi penunggang motosikal dalam Operasi Samseng Jalanan di Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas), tengah malam tadi. .

"Dalam operasi jam 12.50 tengah malam itu, pihaknya melihat sekumpulan penunggang motosikal melakukan aksi superman, bersaing sesama sendiri dan zig-zag bermula dari KM 12 hingga di KM 5 Lebuhraya Lekas arah ke Kuala Lumpur.

"Kami menahan tiga suspek berusia antara 18 hingga 23 tahun yang memberhentikan motosikal mereka di kawasan parkir Taman Desa Mutiara, Jalan Indah, Sungai Jelok, Kajang, jam 1.20 pagi," katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut mengeluarkan 24 saman atas pelbagai kesalahan dalam kedua-dua operasi berkenaan.

"Semua suspek yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam dan IPD Kajang untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Oktober 2021 @ 9:43 AM