FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Keseronokan lapan 'mat rempit' berlumba dan melakukan aksi berbahaya di jalan raya mengundang padah apabila mereka ditahan polis dalam serbuan berasingan, awal pagi tadi.

Aktiviti lumba haram yang dilakukan di Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) dan Lebuhraya Persekutuan itu dikesan Unit Risikan dan Operasi, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman ketika menjalankan Op Samseng Jalanan jam 12.40 pagi.

Timbalan Pengarah JSPT Bukit Aman Datuk Mohd Nadzri Hussain berkata, operasi berkenaan disertai oleh dua pegawai dan 20 anggota.

"Pada mulanya, pasukan membuat pemantauan di Kilometer (KM) 2.8 LDP arah Subang Jaya dan melihat dua motosikal berlumba sambil melakukan aksi zig-zag serta menundukkan badan sehingga KM0.4 LDP.

"Mereka kemudian membuat pusingan sebelum berhenti di bahu jalan Plaza Tol Puchong Barat. Anggota segera menahan kedua-dua penunggang terbabit," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam operasi sama di Lebuhraya Persekutuan, beliau berkata, polis mengekori enam lelaki yang menunggang motosikal secara berbahaya, antara jam 2 pagi sehingga 3 pagi.

Menurutnya, mereka dilihat dengan jelas melakukan pelbagai aksi berbahaya antaranya zig-zag, superman dan whellie (mengangkat tayar hadapan).

"Enam penunggang itu berjaya ditahan anggota ketika berhenti di stesen minyak, restoran dan bahu jalan di lebuh raya berkenaan," katanya.

Beliau berkata, semua suspek yang ditahan berusia antara 18 hingga 33 tahun dibawa ke Balai Trafik Subang Jaya dan Shah Alam untuk tindakan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 April 2021 @ 12:02 PM