EJEN hartanah, Tan Hing Lian, 34 (kanan) dan teman wanitanya, Tan Joo Lee, 29 (tutup kepala) didakwa di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret Jalan Duta atas tiga tuduhan merompak serta mencederakan dua pekerjanya menggunakan penyembur racun serangga dan alat renjatan elektrik. FOTO Hafiz Sohaimi
EJEN hartanah, Tan Hing Lian, 34 (kanan) dan teman wanitanya, Tan Joo Lee, 29 (tutup kepala) didakwa di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret Jalan Duta atas tiga tuduhan merompak serta mencederakan dua pekerjanya menggunakan penyembur racun serangga dan alat renjatan elektrik. FOTO Hafiz Sohaimi
Nor Azura Abdul Jalil


Kuala Lumpur: Seorang ejen hartanah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, atas dua pertuduhan mencederakan dua pekerjanya menggunakan penyembur racun serangga dan alat renjatan elektrik, dua minggu lalu.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Tan Hiang Lian, 34, didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Lee Seat Yee, 28, dan Lim Mei Mei, 34, di Blok B-7-22A Fortune Avenue, Jalan Metro Perdana Kepong, Sentul dekat sini, pada jam 6.30 petang, 8 Mei lalu.

Dakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seskyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau sebat atau dua daripada hukuman berkenaan, jika sabit kesalahan.

Majistret Nur'Aminahtul Mardiah Md Nor kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin untuk kedua-dua pertuduhan sebelum menetapkan 28 Jun ini untuk sebutan semula kes.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen pula, tertuduh dan teman wanitanya, Tan Joo Lee, 29, mengaku tidak bersalah merompak dan mencederakan seorang lagi pekerjanya.

Mereka didakwa dengan niat bersama telah melakukan rompak dan dengan sengaja menyebabkan cedera terhadap Tricia Tan Yee Yee, 24, dengan memindahkan wang daripada akaun mangsa secara atas talian (online) tanpa kerelaannya di tempat dan tarikh yang sama.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Hakim Balqis Aini Mohd Ali membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin setiap seorang berserta syarat tambahan lapor diri di balai polis berdekatan sebulan sekali, pasport diserahkan kepada mahkamah dan dilarang kacau ganggu mangsa serta saksi pendakwaan dan menetapkan 28 Jun untuk sebutan kes.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Mei 2016 @ 3:31 PM