FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Azzman Abdul Jamal

DUA rakan didakwa di Mahkamah Majistret Seremban di sini, hari ini, atas tuduhan menyembunyikan wang bukan milik mereka tahun lalu.

Tertuduh, Chong Wai Kuen, 33 dan Wong Jiin Hurng, 23, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Mahyun Yusof.

Berdasarkan pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa dengan curangnya mendorong menyembunyikan wang sebanyak RM5,000 yang dimasukkan oleh penama, Cing Yee Ping, 59, ke dalam akaun bank yang didaftarkan atas nama Wai Kuen dengan sebab untuk mempercayai bahawa ia bukanlah hak milik tertuduh.

Kesalahan itu dilakukan di CIMB Bank cawangan Seremban 2, di sini, jam 11.07 pagi pada 30 Disember lalu.

Berikutan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Mas Syafiqah Mahrob yang melakukan pendakwaan mencadangkan jaminan sebanyak RM8,000 kepada tertuduh.

Peguam, B Puvarasan yang mewakili Wai Kuen kemudian merayu supaya jaminan dikurangkan dengan alasan tertuduh hanya bekerja sebagai seorang kerani dan hanya meraih pendapatan RM2,000 sebulan selain memberi kerjasama penuh kepada pihak polis.

Jiin Hurng yang yang diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Ng Yunn Yiing, pula menyatakan bahawa dia tidak bekerja dan perlu menanggung ibu bapanya berusia lingkungan 60-an.

Mahkmah kemudian membenarkan tertuduh masing-masing diikat jamin sebanyak RM3,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 20 Januari depan.

Sementara itu, dalam mahkamah berasingan, Wai Kuen mengaku tidak bersalah atas tuduhan gagal memberi keterangan berkenaan berkenaan kemasukan wang RM5,000 ke dalam akaun bank miliknya pada 30 Disember lalu.

Pengakuan itu dibuat selepas pertuduhan dibacakan di hapadan Majistret V Vanita.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1995 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Jiwan Kaur Malkith Singh.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dan menetapkan sebutan semula kes pada 20 Januari depan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 January 2020 @ 1:25 PM