Polis menahan lelaki yang cuba menggadai rantai emas palsu. FOTO/ Ihsan Pemilik Kedai Emas
Polis menahan lelaki yang cuba menggadai rantai emas palsu. FOTO/ Ihsan Pemilik Kedai Emas
Dziyaul Afnan Abdul Rahman

HELAH lelaki berusia 23 tahun cuba menggadai rantai emas palsu di kedai emas di Arau mengundang padah apabila pemilik premis itu bertindak menghubungi polis sebelum dia ditahan semalam.

Dalam kejadian 5 petang itu, suspek berpura-pura datang ke kedai itu untuk menjual rantai emas bersama sehelai resit kononnya bukti pembelian rantai emas itu.

Pemilik kedai yang enggan dikenali berusia 30 tahun itu berkata, lelaki terbabit memberitahu rantai itu milik isteri rakannya dan ingin menjualnya sambil menunjukkan Mykad wanita yang didakwa isteri rakannya.

Menurutnya, lelaki itu turut menyerahkan resit pembelian rantai emas terbabit kepadanya, bagaimanapun resit itu begitu mencurigakan.

“Selepas meneliti resit berkenaan, berat rantai emas yang dinyatakan pada resit terbabit tidak sama dengan rantai emas itu.

“Jadi saya mengambil rantai emas terbabit untuk melakukan beberapa ujian ketulenan dan mendapati ia palsu lalu menghubungi pihak polis tanpa pengetahuan lelaki terbabit,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Katanya, dia boleh kerugian sehingga RM5,000 sekiranya terpedaya dengan helah lelaki terbabit dan pihak polis bertindak menahannya setengah jam kemudian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Arau Superintendan Nanda Maarof ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan.

“Suspek yang berasal dari Semporna, Sabah direman empat hari bermula hari ini sehingga 28 Januari bagi membantu siasatan.

“Hasil pemeriksaan awal mendapati suspek juga memiliki rekod jenayah lampau dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 January 2018 @ 1:17 PM