GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Izad Thaqif Hassan


Kulim: Menggunakan taktik dengan membawa kanak-kanak sebagai 'umpan', dua penyamun meragut rantai seorang wanita warga emas di sebuah kampung di Karangan, dekat sini, semalam.

Selain menggunakan kanak-kanak untuk mengaburi mata, penjenayah turut dikesan berpura-pura kononnya berminat mahu membeli serai ditanam mangsa berusia 71 tahun terbabit.

Tindakan mereka yang dikesan menggunakan helah itu ternyata berhasil kerana mangsa langsung tidak mengesyaki niat buruk yang terselindung sebelum rantai emas bernilai kira-kirai RM5,000 direntap dan dilarikan penyamun terbabit.

Menurut sumber, dalam kejadian 12.50 tengah hari itu mangsa sedang menyapu sampah di halaman rumahnya sebelum dia didatangi tiga individu terdiri daripada dua lelaki dewasa dan seorang kanak-kanak lelaki dianggarkan berusia tiga tahun.

"Ketika itu penunggang memberhentikan motosikal sebelum berpura-pura bertanya mengenai serai ditanam mangsa dan menyatakan hasrat mahu membelinya.

"Dalam keadaan kelam kabut itu, pembonceng motosikal turun menuju ke arah mangsa dan berlakon seolah-olah ingin membayar wang serai yang mahu dibeli kepada wanita terbabit," katanya.

Sumber berkata sebaik menghampiri mangsa, lelaki terbabit terus meragut rantai emas dipakai wanita berkenaan sebelum dia bersama rakannya melarikan diri dengan motosikal dinaiki mereka.

"Hasil siasatan mendapati hanya mangsa bersama seorang cucu yang berusia empat tahun berada di halaman rumah itu dan tiada saksi atau jiran melihat kejadian berkenaan.

"Pemeriksaan lanjut mendapati mangsa mengalami calar dan kesan merah di leher selepas rantai dipakainya direntap kuat penjenayah," katanya.

Menurutnya, mangsa tidak sempat mencatat nombor pendaftaran motosikal dinaiki suspek namun berdasarkan gambaran diberi ia dipercayai model Yamaha LC hitam.

"Kita tidak menolak kemungkinan suspek menggunakan taktik dengan membawa bersama seorang kanak-kanak untuk mengelak orang ramai mengesyaki mereka melakukan jenayah namun siasatan lanjut mengenainya masih dijalankan.

"Setakat ini, kita sedang mengesan dua suspek terbabit yang dipercayai berusia lingkungan 20-an bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Oktober 2022 @ 11:12 AM