TANGKAP layar rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang memaparkan suspek melarikan barang kemas selepas berpura-pura mahu melihat barangan itu di sebuah kedai emas di Teluk Intan. FOTO Ihsan PDRM
TANGKAP layar rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang memaparkan suspek melarikan barang kemas selepas berpura-pura mahu melihat barangan itu di sebuah kedai emas di Teluk Intan. FOTO Ihsan PDRM
Noor Hidayah Tanzizi

Teluk Intan: Seorang lelaki berpura-pura mahu melihat barangan kemas sebelum melarikan dua utas rantai tangan dan seutas rantai leher bernilai RM35,000 di kedai emas di Jalan Mahkota, di sini, kelmarin.

Bagaimanapun lelaki berusia 45 tahun itu berjaya ditahan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak pada 5 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, kejadian berlaku 4.30 petang ketika pemilik kedai emas iaitu wanita berusia 50 tahun dan tiga pekerjanya didatangi suspek.

Menurutnya, suspek berpura-pura mahu melihat beberapa utas rantai sebelum terus membawa keluar barang kemas dari kedai.

"Pemilik yang menyedari kejadian menjerit meminta tolong namun suspek melarikan diri dengan menaiki Proton Iswara Aeroback yang diletakkan kira-kira 50 meter dari kedai," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, bertindak atas maklumat, sepasukan anggota JSJ IPK Perak berjaya menangkap lelaki terbabit di kawasan perumahan Jalan Lapangan Siber, Bandar Cyber di Ipoh.

"Polis turut merampas barang kes yang dilaporkan hilang," katanya.

Ahmad Adnan berkata, semakan mendapati suspek mempunyai empat rekod lampau membabitkan kes dadah.

"Ujian awal saringan air kencing mendapati suspek positif methamphetamine dan dia direman selama tujuh hari untuk membantu siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Julai 2022 @ 1:58 PM