Laporan Harian Metro semalam
Laporan Harian Metro semalam
Ahmad Hasbi

Tampin: Polis masih menunggu laporan bedah siasat terhadap mayat yang ditemukan dalam keadaan tangan dan kaki terikat serta dibalut kain dalam sebuah rumah berkunci di Jalan Cenaga Baru, Kampung Repah di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Tampin Superintendan Anuwal Ab Wahab berkata, berdasarkan pemeriksaan awal pihaknya tidak menemui kesan luka atau dipukul pada badan mangsa.

"Berdasarkan siasatan awal di tempat kejadian, kami mendapati tiada kesan geledah dan pecah rumah. Pemeriksaan pada badan mangsa juga tidak menemui kesan luka.

"Kami masih menunggu laporan bedah siasat yang mungkin akan dikeluarkan selewat-lewatnya petang esok. Berdasarkan laporan berkenaan mungkin akan memberi petunjuk kepada siasatan selanjutnya," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, sehingga kini pihaknya belum membuat sebarang tangkapan dan hanya mengambil keterangan daripada isteri mangsa yang difahamkan ketika kejadian wanita berkenaan berada di rumah ibunya.

"Kami berharap dengan keputusan laporan bedah siasat nanti akan memberi petunjuk.

"Setakat ini, kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.

Harian Metro sebelum ini melaporkan seorang wanita menemui suaminya dalam keadaan tangan dan kaki terikat serta dibalut kain dan dipercayai dibunuh.

Difahamkan, mayat berkenaan ditemukan pada 2.30 petang ketika isteri mangsa pulang ke rumah sewa mereka untuk melihat keadaan lelaki itu selepas dia tidak menjawab mesej sejak kelmarin.

Berita berkaitan

Mayat dengan tangan, kaki terikat dalam rumah berkunci

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 January 2022 @ 7:18 PM