Oleh Asmah Rusman

Petaling Jaya: Wanita masih dalam pantang ditemui mati dipercayai dibunuh dalam bilik di rumahnya di Tingkat 8, Mentari Court, Bandar Sunway, malam tadi.

Selain itu, wanita berusia 23 tahun itu ditemui separuh bogel dengan kedua-dua tangan dan kakinya terikat bersama bayi perempuannya yang sedang tidur di sisi, kira-kira 8 malam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Azmi Abu Kasim, berkata kejadian itu disedari suaminya yang baru pulang daripada kerja selepas mendapati pintu rumah berkunci dari dalam.

"Pemeriksaan mendapati tiada kesan kecederaan ditemui pada mayat wanita itu namun terdapat tompokan darah yang masih belum dikenalpasti sama ada milik mangsa atau suspek selain turut ditemui sejenis senjata tajam dalam rumah berkenaan.

"Siasatan awal tidak menolak mangsa kemungkinan mati dicekik tetapi kita akan menunggu laporan bedah siasat untuk mengesahkan sama ada mangsa dirogol," katanya di lokasi kejadian.

Beliau berkata, selain suami isteri berkenaan, terdapati tiga lagi individu lain mendiami rumah itu yang dijadikan sebagai kuarters pengawal keselamatan sebuah kilang elektronik di Kelana Jaya.

"Suami mangsa terpaksa memecahkan pintu rumah selepas gagal dibuka dengan kunci. Malah, panggilannya juga tidak dijawab," katanya.

Katanya, pemeriksaan dijalankan pasukan forensik di lokasi kejadian, termasuk merakam keterangan jiran bagi membantu siasatan.

Mayat wanita itu dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mac 2015 @ 9:12 AM