PEMANGDAN udara sebahagian jalan runtuh mengakibatkan lima buah kenderaan rosak ketika tinjauan kejadian tanah mendap di Lestari Perdana, Seri Kembangan. FOTO Aizuddin Saad
PEMANGDAN udara sebahagian jalan runtuh mengakibatkan lima buah kenderaan rosak ketika tinjauan kejadian tanah mendap di Lestari Perdana, Seri Kembangan. FOTO Aizuddin Saad
Faris Fuad


Seri Kembangan: Kejadian tanah mendap di Lestari Perdana, Bandar Putra Permai, di sini, semalam disahkan kali kedua berlaku.

Pegawai Daerah Petaling, Datuk Johary Anuar, berkata mengikut rekod, kejadian tanah mendap berlaku pada 2017 di lokasi sama.

"Kerja pemulihan dijangka mengambil masa kira-kira seminggu. Ketika ini, kerja memasang cerucuk di sekitar kawasan ini sedang giat dijalankan sejak semalam.

"Ia bagi memastikan tiada pergerakan tanah bagi mengelak kejadian berulang. Kami memandang serius perkara ini dan akan bekerjasama dengan beberapa agensi lain untuk mengenal pasti punca kejadian.

"Laporan kejadian akan disiapkan sejurus kajian tanah mendap dapat dilakukan sepenuhnya," katanya pada sidang media di lokasi kejadian, hari ini.

Turut hadir, Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan.

Sementara itu, Anbalagan berkata, sebanyak 17 premis komersial di sekitar kawasan berkenaan diarahkan memberhentikan operasi perniagaan untuk sementara waktu.

"Premis terletak kira-kira 150 meter dari lokasi kejadian diarah untuk memberhentikan sebarang operasi.

"Kami juga sudah mengambil langkah berjaga-jaga dan memaklumkan kepada pemilik premis untuk hentikan operasi sehingga kami dapat pastikan keadaan kembali selamat sepenuhnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 January 2022 @ 1:26 PM