Norzamira Che

KERAJAAN Selangor memberi tempoh dua minggu kepada Prasarana Malaysia Berhad (PRASARANA) untuk menyiapkan laporan forensik berhubung insiden tanah mendap di tapak projek pembinaan Transit Aliran Ringan LRT3) di Jalan Klang-Banting berdekatan Johan Setia pada 20 Julai lalu.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru negeri Ng Sze Han berkata, menerusi laporan awal yang dikemukakan sebelum ini, punca utama kejadian itu tidak dapat dikenal pasti.

"Kerajaan negeri memberikan masa dua minggu untuk menjalankan siasatan forensik iaitu 'Soil Investigation Mapping' dan hasil laporan itu perlu dibentangkan kepada kerajaan negeri.

"Menerusi pemetaan (mapping) berkenaan, punca sebenar akan dikenal pasti sama ada terdapat lubang besar ataupun anak sungai di bawah tanah yang menyebabkan ia mendap.

"Seminggu sudah berlalu dan saya fikir laporan itu akan siap dalam tempoh seminggu lagi (minggu hadapan)," katanya ketika ditemui media di majlis Perasmian Program Publisiti dan Penyertaan Awam bagi Draf Perancangan Tempatan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) 2035 di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam hari ini.

Beliau berkata, mendapan itu sudah dapat dikawal dan laluan akan dibuka kepada orang ramai secara berperingkat.

"Pengawalan mendapan untuk pembukaan semula laluan siap seperti yang dijadualkan," katanya.

Laporan Harian Metro sebelum ini
Laporan Harian Metro sebelum ini

Pada 20 Julai lalu, Jalan Klang-Banting di kedua-dua arah ditutup ekoran kejadian tanah mendap dipercayai akibat kerja menanam cerucuk bagi pembinaan projek Transit Aliran Ringan (LRT3).

Terdahulu, Pengerusi Kumpulan PRASARANA Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman memaklumkan syarikat itu melalui kontraktornya akan menanggung sepenuhnya kos pembaikan jalan susulan kejadian tanah mendap itu.

Berita berkaitan

Jalan raya mendap bentuk kawah besar [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Julai 2020 @ 6:21 PM