Norzamira Che Noh


JALAN Klang - Banting berdekatan lampu isyarat Johan Setia di Klang, Selangor, mendap di kedua-dua lorong dipercayai akibat kerja-kerja pembinaan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) di kawasan itu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, dalam kejadian jam 3 petang tadi, pekerja projek LRT3 dikatakan sedang melakukan kerja-kerja menanam cerucuk di kawasan tanah yang tidak rata.

"Tiba-tiba berlaku mendapan tanah di kawasan itu sehingga menjejaskan laluan utama dari arah Klang ke Banting.

"Pasukan Tindakan Kecemasan LRT3 sudah diaktifkan dan penutupan jalan dilaksanakan untuk mengelakkan orang ramai mendekati kawasan yang terjejas.

"Pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dan MRCBGK turut berada di lokasi dan sedang menyiasat punca kejadian," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, susulan mendapan jalan semakin besar dan menjejaskan laluan dari kedua arah, laluan berkenaan kini dilencongkan.

Katanya, aliran kenderaan dari Jalan Klang -Banting dilencong masuk ke Bayu Mas melalui Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) dan Jalan kebun.

"Manakala laluan kenderaan dari Jalan Banting-Klang dilencong masuk ke Bayu Mas.

"Anggota Respon Team Trafik kini berada di lokasi untuk mengawal keadaan lalulintas," katanya.

Jalan Klang- Banting berdekatan lampu isyarat Johan Setia mendap dipercayai akibat pembinaan FOTO IHSAN PEMBACA
Jalan Klang- Banting berdekatan lampu isyarat Johan Setia mendap dipercayai akibat pembinaan FOTO IHSAN PEMBACA

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Julai 2020 @ 7:48 PM