Pemandangan udara sebahagian jalan runtuh mengakibatkan lima buah kenderaan rosak ketika tinjauan kejadian tanah mendap di Lestari Perdana, Seri Kembangan. FOTO AIZUDDIN SAAD
Pemandangan udara sebahagian jalan runtuh mengakibatkan lima buah kenderaan rosak ketika tinjauan kejadian tanah mendap di Lestari Perdana, Seri Kembangan. FOTO AIZUDDIN SAAD
Oleh Raja Noraina Raja Rahim


Serdang: "Saya sempat alihkan 10 kereta pelanggan, namun sebuah van dan dua kereta tidak sempat diselamatkan berikutan tanah sudah mendap serta runtuh ketika itu," ujar Alter Jasan, 39, yang juga saksi kejadian tanah mendap di Lestari Perdana, Seri Kembangan di sini, kelmarin.

Pekerja bengkel membaiki kenderaan itu berkata, dia masih trauma dengan insiden berkenaan yang hampir meragut nyawanya.

Menurutnya, sebelum kejadian jam 5 petang itu, seorang pekerja pejabat di tingkat atas bengkel memaklumkan melihat kesan rekahan jalan di depan premisnya.

"Sebaik diberitahu pekerja itu, saya segera mengalihkan kenderaan milik pelanggan. Namun, belum sempat saya alihkan tiga lagi kenderaan, jalan dan tanah di lokasi itu mendap dan runtuh.

"Saya terkejut dan tergamam. Bayangkan apa akan jadi jika saya tidak sempat menyelamatkan diri dan terkubur bersama kenderaan cuba diselamatkan," katanya

Alter berkata, kejadian sama pernah berlaku di situ pada 2017, tetapi tidak seteruk seperti apa yang berlaku kelmarin.

Ekoran kejadian itu, mereka diminta pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mengosongkan premis untuk proses pemasangan cerucuk besi dan pengukuhan tanah di lokasi kejadian.

Katanya, proses itu dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya seminggu yang secara tidak langsung menjejaskan pendapatan perniagaan.

"Kami sedang mengemas barang sebelum menutup bengkel hari ini (semalam) bagi mengikut arahan pihak berkuasa," katanya yang berharap kejadian itu dapat ditangani bagi mengelak ia berulang.

Sementara itu seorang lagi saksi, Nur Diana Ibrahim, 24, yang juga pekerja kedai pakaian berkata, kejadian tanah mendap berlaku begitu pantas dan memeranjatkan ramai pekerja di lokasi itu.

"Sebelum kejadian, berlaku hujan lebat sebelum ia berhenti sejam kemudian. Tidak lama kemudian kejadian tanah mendap berlaku.

"Saya tidak dengar bunyi dentuman runtuhan. Namun saya bersyukur tiada pekerja cedera kerana majoritinya sudah pulang ke rumah," katanya.

Katanya, mereka diarah mengosongkan bangunan untuk tempoh yang akan dimaklumkan oleh PBT kelak.

"Kami pindahkan stok pakaian ke premis di kawasan berdekatan yang dibenarkan beroperasi," katanya.

Kelihatan sebahagian jalan runtuh mengakibatkan lima buah kenderaan rosak ketika tinjauan kejadian tanah mendap di Lestari Perdana, Seri Kembangan. FOTO AIZUDDIN SAAD
Kelihatan sebahagian jalan runtuh mengakibatkan lima buah kenderaan rosak ketika tinjauan kejadian tanah mendap di Lestari Perdana, Seri Kembangan. FOTO AIZUDDIN SAAD

PBT perlu periksa saliran digunakan

Kuala Lumpur: Adakah pemaju melaksanakan proses memadatkan tanah yang betul sebelum membina jalan di atas tanah di kawasan runtuhan di Lestari Perdana, Seri Kembangan kelmarin?

Persoalan itu dibangkitkan Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye yang turut ditujukan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Beliau berkata, secara teknikalnya, kejadian yang berlaku itu bukanlah kejadian tanah mendap kerana tanah mendap berlaku apabila permukaan jalan akan kelihatan beralun.

Oleh demikian, beliau berkata, kejadian ini dikategorikan sebagai tanah runtuh.

"PBT boleh memeriksa adakah betul saliran yang sudah digunakan. Adakah pemaju melaksanakan proses memadatkan tanah yang betul sebelum membina jalan di atas tanah di kawasan itu?," katanya semalam.

Lam Thye berkata, Pemaju Lestari Perdana mahupun perunding kejuruteraan awam yang diupah oleh pemaju dan PBT perlu bertindak kerana pengawasan yang lemah di kawasan kejadian.

"Walaupun kejadian ini disebabkan oleh hujan lebat, tetapi ia tidak akan berlaku sekiranya penyeliaan yang sewajarnya dibuat.

"Seperti yang kita sedia maklum, sebahagian besar daripada kawasan Lestari Perdana adalah kawasan beralun dan berkemungkinan besar kawasan ini dipenuhi tanah.

"Semasa hujan lebat, tanah menjadi tepu, berat dan lemah apabila ini akan cepat mewujudkan keadaan aliran tanah yang laju dan akan menggelongsor," katanya.

Beliau berkata, pengawasan yang lebih kerap perlu dilaksanakan di kawasan sebegini selepas ini bagi mengelakkan berlakunya kejadian seumpama itu berulang.

Katanya, pihak bomba juga mengklasifikasikan kejadian sebagai tanah mendap mengikut laporan awal daripada hasil penyiasatan.

"Bagaimanapun, selepas merujuk dengan pakar yang sepatutnya, ia bukanlah berlaku kerana tanah mendap, tetapi diklasifikasikan sebagai tanah runtuh," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 January 2022 @ 12:00 PM