PEKERJA melakukan kerja memasang 150 besi cerucuk di kawasan tebing terjejas akibat mendapan tanah di Lestari Perdana, Bandar Putra Permai. FOTO AIZUDDIN SAAD
PEKERJA melakukan kerja memasang 150 besi cerucuk di kawasan tebing terjejas akibat mendapan tanah di Lestari Perdana, Bandar Putra Permai. FOTO AIZUDDIN SAAD
Faris Fuad


Serdang: Kerosakan dan rekahan baharu dikesan di jalan di kawasan tanah mendap di Lestari Perdana, Bandar Putra Permai, di sini, akibat hujan lebat, semalam.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, agensi penguatkuasaan termasuk Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) mengambil maklum perkara itu dan kerja membaik pulih jalan itu sedang giat dilakukan.

"Saya diberitahu 50 besi cerucuk ditanam sepanjang 150 meter di kawasan kejadian, semalam. Proses penanaman itu masih berlangsung dan akan mengambil masa tujuh hari bagi memastikan tiada pergerakan tanah serta berlaku rekahan di kawasan lain.

"Kita ingin menasihatkan 17 pemilik premis komersial di kawasan itu untuk terus mengosongkan kedai masing-masing hingga keadaan kembali selamat.

"Jabatan Kejuruteraan MBSJ sedang membuat penilaian perkara itu dari semasa ke semasa," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Op Selamat 17 sempena Tahun Baharu Cina di Plaza Tol Sungai Besi arah selatan, di sini, hari ini.

Dalam kejadian petang kelmarin, bomba menerima maklumat pada 6.38 petang sebelum bergegas ke lokasi dan mendapati lima kenderaan rosak akibat kejadian tanah mendap.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Mengenai kenderaan rosak akibat tanah mendap, Anbalagan berkata, pemilik kenderaan terbabit boleh membuat laporan polis untuk tuntutan dan pampasan insurans.

"Setakat ini, kita tidak menerima sebarang laporan daripada pihak terbabit. Kita dimaklumkan kereta itu ada yang sudah rosak, selain milik pelanggan bengkel di kawasan kejadian.

"Kalau kereta itu mempunyai insurans, mereka boleh membuat laporan polis untuk tindakan susulan. Tiada masalah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 January 2022 @ 10:40 AM