Ruwaida Md Zain


PRASARANA Malaysia Berhad (Prasarana) melalui kontraktornya akan menanggung sepenuhnya kos pembaikan jalan susulan kejadian tanah mendap di tapak projek pembinaan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) di Jalan Klang-Banting berdekatan lampu isyarat Johan Setia di sini.

Pengerusi Kumpulan Prasarana Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, pihaknya akan mengambil tanggungjawab sepenuhnya ke atas segala kos baik pulih jalan raya dan paip pecah di lokasi terbabit.

"Bagi pihak Prasarana, saya meminta maaf kepada penduduk dan pengguna jalan raya disebabkan kepayahan dan kesulitan dihadapi akibat kejadian yang tidak dijangka berlaku ini dan kita juga tidak mahu ia berlaku.

"Bagaimanapun kita mengambil tindakan pantas dan segera meminta pihak kontraktor (MRCB George Kent Sdn Bhd) pastikan keadaan jalan dapat diperbaiki agar trafik kembali seperti biasa dan begitu juga bekalan air.

"Kita jangkakan bekalan air esok petang pulih tetapi pembaikan jalan mengambil masa kira-kira seminggu kerana kontraktor akan melaksanakan kajian terhadap tanah terutama di kawasan berdekatan bagi meneruskan projek itu dengan selamat," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas membuat tinjauan bagi mengetahui keadaan sebenar masalah tanah mendap di tapak projek LRT3 Johan Setia Klang.

Tajuddin berkata, kekerapan hujan lebat dalam tempoh terdekat serta tekanan daripada mesin projek LRT3 menyebabkan tanah jenis gambut di situ menjadi lembut dan mengakibatkan tanah mendap.

TINJAUAN melalui udara kawasan jalan merekah akibat mendapan tanah berhampiran tapak pembinaan LRT 3 di Jalan Klang-Banting. FOTO Muhd Asyraf Sawal
TINJAUAN melalui udara kawasan jalan merekah akibat mendapan tanah berhampiran tapak pembinaan LRT 3 di Jalan Klang-Banting. FOTO Muhd Asyraf Sawal

"Mendapan juga begitu serius sekali dan ini memberi kesan kepada lalu lintas. Keadaan tanah mendap ini juga menyebabkan paip (dalam tanah) pecah dan menjejaskan kira-kira 14,000 pengguna bekalan air di kawasan ini.

"Mungkin esok petang, paip sudah dapat itu diperbaiki, bekalan air juga sudah dipulihkan. Buat sementara bekalan air menggunakan lori tangki Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd akan digerakkan di kawasan terjejas," katanya.

Dalam pada itu katanya, kerja pembaikan itu tidak akan menjejaskan jadual pelaksanaan projek seperti ditetapkan.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han yang ditemui di lokasi sudah meminta pelaksana projek LRT3 menghantar laporan forensik kejadian terbabit.

"Kerajaan negeri kesal dengan kejadian yang berlaku kerana ini kejadian kedua dalam masa terdekat, sebelum ini di Meru dan sekarang di Johan Setia.

"Sepatutnya insiden seperti ini tidak boleh berlaku kerana sebelum sesuatu pembinaan itu bermula, sepatutnya semua kajian siap dibuat dan kenapa kejadian ini masih boleh berlaku.

"Kita mahu pihak LRT3 membuat siasatan dan membentang satu laporan forensik kepada kerajaan negeri dalam masa dua hari dan dibentangkan dalam Mesyuarat Tindakan Ekonomi Selangor MTES (MTES) pada hari Khamis ini," katanya.

Semalam, media melaporkan jalan terbabit ditutup ekoran kejadian tanah mendap dipercayai akibat kerja menanam cerucuk di bagi pembinaan projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Julai 2020 @ 6:23 PM