ABDUL Khalim (kiri) melihat anggotanya daripada unit dron, Mohd Shahril Yusop (tengah) menerbangkan dron bagi memantau aktiviti pencerobohan hutan di HSK Chabang Tongkat. Turut hadir Penolong Pengarah Kanan Operasi dan Penguatkuasaan hutan negeri Kelantan Mohd Shukri Aziz (kanan). FOTO BERNAMA

BERNAMA

Kota Bharu: Jabatan Perhutanan Kelantan mengakui penggunaan dron amat efektif dalam memantau aktiviti pencerobohan hutan terutamanya di Hutan Simpan Kekal (HSK) di negeri ini.

Pengarahnya, Abdul Khalim Abu Samah berkata, penggunaan dron sejak 2014 itu bukan sahaja menjimatkan kos malah ia juga menjimatkan tenaga kakitangan selain mampu bertindak lebih pantas.

Beliau berkata, banyak kawasan HSK didapati diceroboh pembalak haram dan melalui penggunaan dron pihak jabatan dapat mengesan kegiatan itu dengan lebih cepat melalui udara.

"Sebenarnya penggunaan dron ini sudah terbukti dapat mengesan kegiatan pembalakan haram malah berjaya menghalang pembalakan secara berleluasa.

Kita tahu ada penduduk tempatan yang menceroboh Hutan Perlindungan seperti HSK Chabang Tongkat, Machang yang merupakan Hutan Tadahan Air dan hasil penggunaan dron kegiatan itu dapat dikesan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

PEMANDANGAN dari udara yang diambil menggunakan dron bagi memantau aktiviti pencerobohan hutan di HSK Chabang Tongkat. FOTO BERNAMA
PEMANDANGAN dari udara yang diambil menggunakan dron bagi memantau aktiviti pencerobohan hutan di HSK Chabang Tongkat. FOTO BERNAMA

Jelasnya, meskipun dron yang digunakan tidak dapat turun ke bawah kerana dilitupi pokok-pokok kayu namun pemerhatian rapi berdasarkan gambar yang dirakamkan dari atas, kesan pencerobohan seperti kesan penebangan dan laluan kenderaan berjaya dikenal pasti.

Abdul Khalim berkata, setakat ini Jabatan Perhutanan Kelantan mempunyai empat dron yang digunakan bagi memantau pencerobohan hutan di Jajahan Kelantan Barat dan Jajahan Kelantan Timur meliputi keseluruhan keluasan 629,775.13 hektar.

Tambahnya, daripada 37 HSK yang ada di negeri ini 16 daripadanya dikesan kerap kali diceroboh pembalak haram bagi mendapatkan kayu bermutu tinggi seperti Balau, Balau Merah, Nyatoh, Merbau dan Meranti.

Mengulas lanjut berhubung kegiatan pembalakan haram, Abdul Khalim berkata kini kegiatan itu hanya berlaku dalam skala kecil dan melibatkan penduduk tempatan yang menebang balak berdasarkan permintaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Disember 2020 @ 2:10 PM