Keadaan kereta dipandu Sivabalan terbalik selepas terbabas ke dalam parit di KM 53 Jalan Ipoh-Kuala Lumpur dekat Tapah, tengah malam tadi. Foto Ihsan JBPM
Keadaan kereta dipandu Sivabalan terbalik selepas terbabas ke dalam parit di KM 53 Jalan Ipoh-Kuala Lumpur dekat Tapah, tengah malam tadi. Foto Ihsan JBPM
BERNAMA

Ipoh: Timbalan Ketua Bahagian MIC Tapah D Sivabalan maut selepas kereta dipandunya terbabas ke dalam parit di Kilometer (KM) 53 Jalan Ipoh-Kuala Lumpur dekat Tapah, tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Tapah Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, kemalangan berlaku pada 12.45 tengah malam dan menyebabkan Sivabalan, 50, meninggal dunia di tempat kejadian.

"Kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa (Sivabalan) yang memandu kereta jenis Proton Iswara memasuki laluan bertentangan dan melanggar Proton Exora dipandu seorang lelaki berusia 21 tahun.

"Kereta mangsa kemudiannya terbabas ke dalam parit di sebelah kanan jalan menuju ke arah Kuala Lumpur," katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Azharuddin berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tapah untuk bedah siasat, manakala pemandu Proton Exora tidak mengalami kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 January 2022 @ 10:18 AM