Keadaan kenderaan dinaiki mangsa selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 66 Jalan Ipoh-Kuala Lumpur dekat Taman Sri Mas, Ipoh, malam tadi. Foto Ihsan Pembaca
Keadaan kenderaan dinaiki mangsa selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 66 Jalan Ipoh-Kuala Lumpur dekat Taman Sri Mas, Ipoh, malam tadi. Foto Ihsan Pembaca
Mohd Hafizee Mohd Arop


LELAKI maut dan isterinya pula parah selepas kereta dinaiki dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh kereta lain di Kilometer 66 Jalan Ipoh-Kuala Lumpur dekat Taman Sri Mas, Ipoh, malam tadi.

Dalam kejadian 9 malam itu, Chee Kok Choon, 47, meninggal dunia di lokasi kejadian selepas parah di beberapa bahagian badan, manakala isterinya berusia 46 tahun patah tangan.

Ketua Polis Daerah Tapah Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, siasatan awal mendapati mangsa dalam perjalanan menaiki Proton Wira bersama isterinya menghala ke Kuala Lumpur sebelum kenderaannya dipercayai hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan.

Menurutnya, akibat hilang kawalan kenderaan dipandu mangsa kemudiannya merempuh Proton Persona dari arah bertentangan.

“Mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Tapah untuk proses bedah siasat, manakala isterinya yang patah tangan dibawa ke hospital sama untuk rawatan lanjut.

“Pemandu Proton Persona berusia 26 tahun hanya cedera ringan, manakala dua penumpangnya tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataannya di sini, hari ini.

Wan Azharuddin berkata, siasatan lanjut kes berkenaan masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Jun 2019 @ 5:37 PM