K Muniandy
K Muniandy
Rosman Shamsudin


Sungkai: "Pemergian beliau satu kehilangan besar buat parti MIC di bahagian Tapah," kata Setiausaha MIC Bahagian Tanjung Malim K Muniandy, 65, yang juga rakan kepada mangsa kemalangan maut, Timbalan Ketua MIC Bahagian Tapah D Sivabalan.

Beliau berkata, kali terakhir beliau menemui Sivabalan pada minggu lalu di Tapah dan berbual seperti biasa, malah mendiang tidak menunjukkan sebarang perubahan pada dirinya.

"Saya terkejut apabila menerima panggilan telefon kira-kira 8.30 pagi tadi daripada seorang rakan memaklumkan mendiang meninggal dalam kemalangan.

"Sukar untuk terima kerana baharu sahaja saya bertemu beliau minggu lalu di Tapah dan masih teringat saat terakhir bertemu mendiang yang ceria ketika berbual," katanya ketika dihubungi dekat sini.

Beliau yang juga Ketua MIC cawangan Sungkai berkata, sepanjang pembabitan dalam politik, mendiang banyak menabur jasa terutama dalam memberi idea yang bernas untuk kemajuan parti di bahagian terbabit.

Katanya, sikap mendiang yang peramah dengan sesiapa sahaja tanpa mengira kaum menyebabkan mendiang dikenali ramai.

"Sebelum ini, apabila berjumpa dengan mendiang kami sering bertukar pendapat dan pandangan sambil berbual tentang kehidupan seharian.

"Walaupun mendiang muda daripada saya, idea yang dilontarkan dan diberikan memang baik untuk membangunkan dan kemajuan parti," katanya.

Hari ini, akhbar ini melaporkan Sivabalan yang memandu Proton Iswara maut selepas keretanya terbabit nahas dengan sebuah kenderaan lain di Kilometer 53 Jalan Ipoh-Kuala Lumpur, tengah malam tadi.

Sivabalan yang parah dalam insiden kira-kira 12.45 tengah malam itu, disahkan maut di tempat kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 January 2022 @ 3:06 PM