Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Sembilan individu yang dipercayai terbabit dengan sindiket penipuan dalam talian sejak setahun lalu dicekup polis dalam empat serbuan, Khamis lalu.

Ketua Polis Kedah Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad berkata, operasi dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah dalam serbuan di sekitar negeri ini dan satu lagi di Pulau Pinang, bermula 1.15 tengah hari.

Beliau berkata, kesemua mereka yang ditahan terdiri daripada lapan lelaki dan seorang wanita yang berusia antara 19 hingga 51 tahun.

"Hasil siasatan awal mendapati, kesemua suspek ini mempunyai dua kumpulan iaitu Kumpulan Melayu Yong dan Kumpulan India Yong.

"Modus operandi yang dilakukan oleh ahli sindiket ini ialah dengan menghubungi mangsa dan menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), mahkamah, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan banyak lagi.

"Mereka turut menggunakan pelbagai ugutan supaya mangsa takut dan panik lalu terus membuat bayaran melalui pindahan wang bank," katanya pada sidang media di IPK Kedah di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua JSJK Kedah Superintendan Elias Omar.

Wan Hassan berkata, pihaknya masih mengesan dua lagi individu yang disyaki terbabit dalam sindiket ini untuk membantu siasatan.

Beliau berkata, seorang daripada suspek yang dikesan itu adalah antara dalang sindiket berkenaan.

"Setakat ini, kesemua individu yang ditahan ini disyaki terbabit dalam enam kes yang kita kenal pasti dan yang lainnya kita akan buat soal siasat.

WAN Hassan (kanan) menunjukkan  barangan yang dirampas. FOTO Zuliaty Zulkiffli
WAN Hassan (kanan) menunjukkan barangan yang dirampas. FOTO Zuliaty Zulkiffli

"Kerugian bagi semua kes ini membabitkan RM15,000 tetapi kalau kita tengok kes membabitkan penipuan seperti ini membabitkan lebih RM30 juta," katanya.

Wan Hassan berkata, antara barangan yang dirampas termasuklah dua komputer riba, 21 telefon bimbit pelbagai jenama, tiga kenderaan pelbagai jenama, 18 buku catatan, empat dokumen, tiga kad juruwang automatik (ATM) pelbagai bank, beg serta wang tunai sebanyak RM14,100.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan membabitkan penipuan yang boleh membawa hukuman 10 tahun dan dengan sebatan serta boleh dikenakan denda.

Dalam pada itu, beliau berkata, sepanjang Januari hingga Disember tahun lalu, kes membabitkan Jenayah Komersil Kontinjen Kedah membabitkan jumlah 1,881 kes berbanding tahun sebelumnya iaitu 1,125 kes.

"Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 756 kes pada tahun lalu. Daripada jumlah 1,881 itu, sebanyak 90 peratus kes adalah membabitkan kes penipuan yang merangkumi jenayah penipuan seperti Macau Scam (397 kes), Love Scam (98 kes), pinjaman tidak wujud (297 kes), pelaburan tidak wujud (214), tipu belian dalam talian (593 kes).

"Peningkatan kes Komersil juga membawa kepada peningkatan jumlah kerugian sebanyak RM11,079,937.52 iaitu kerugian sebanyak RM28,899,760.03 pada tahun lalu manakala RM17,819,822.51 pada 2020," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 January 2022 @ 1:59 PM