GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Nurul Amanina Suhaini


Johor Bahru: Jumlah mangsa banjir di Johor menunjukkan trend penurunan apabila 1,044 orang daripada 295 keluarga kini ditempatkan di 23 pusat pemindahan sementara (PPS), setakat jam 4 petang ini.

Berbanding jam 8 pagi tadi, seramai 1,227 mangsa daripada 351 keluarga ditempatkan di 26 PPS seluruh negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan, berkata Segamat mula pulih apabila kini terdapat 411 mangsa daripada 115 keluarga ditempatkan di 13 PPS, petang ini.

Katanya, ia berbanding seramai 417 mangsa daripada 116 keluarga ditempatkan di 12 PPS, pagi tadi.

"Tangkak mencatatkan penurunan ketara dengan 26 mangsa daripada lapan keluarga di satu PPS, petang ini, berbanding seramai 182 mangsa daripada 55 keluarga di lima PPS, pagi tadi.

"Muar juga berkurangan kepada 526 mangsa daripada 154 keluarga di lapan PPS berbanding 547 mangsa daripada 162 keluarga di lapan PPS, pagi tadi.

"Batu Pahat pula masih mengekalkan jumlah sama iaitu 81 mangsa daripada 18 keluarga di satu PPS," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sehingga kini, tiga PPS di Tangkak iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Pengkalan Besar, SK Bukit Rahmat dan Sekolah Agama Bukit Rahmat sudah ditutup.

Katanya, pada masa sama, hanya satu jalan yang masih ditutup bagi semua jenis kenderaan meliputi Jalan Felda Bukit Aping (Jalan Kemuning 1), Kota Tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 January 2022 @ 4:59 PM