Nurul Amanina Suhaini

Johor Bahru: Jumlah mangsa banjir di Johor menunjukkan perkembangan positif apabila menurun kepada 4,274 orang daripada 1,188 keluarga di 57 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 4 petang ini.

Berbanding jam 8 pagi tadi, seramai 4,496 mangsa daripada 1,242 keluarga di tempatkan di 62 PPS seluruh negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan berkata, Segamat terus menunjukkan trend penurunan dengan 2,291 mangsa daripada 622 keluarga di 35 PPS, petang ini.

Katanya, ia berbanding seramai 2,479 mangsa daripada 678 keluarga ditempatkan di 36 PPS, pagi tadi.

"Tangkak turut menurun kepada 814 mangsa daripada 230 keluarga di 12 PPS berbanding 905 mangsa daripada 249 keluarga di 16 PPS pagi tadi.

"Bagaimanapun, Muar terus mencatatkan peningkatan apabila seramai 1,115 mangsa daripada 318 keluarga di sembilan PPS berbanding 1,058 mangsa daripada 297 keluarga di sembilan PPS, pagi tadi.

"Batu Pahat mengekalkan jumlah mangsa banjir yang sama iaitu seramai 54 mangsa daripada 18 keluarga yang ditempatkan di sebuah PPS," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sehingga kini, hanya empat daerah yang terjejas dengan menyaksikan lima PPS ditutup petang ini iaitu di Balairaya Kampung Pudu, Segamat, yang sebelum ini menempatkan 50 mangsa daripada 13 keluarga.

Katanya, empat PPS lain yang tutup iaitu di Tangkak meliputi Sekolah Kebangsaan (SK) Serom 8, SK Ledang, SK Simpang Lima Darat dan Sekolah Agama Simpang Lima Darat dengan sebelum ini keseluruhan mangsa banjir adalah 170 orang daripada 40 keluarga.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 January 2022 @ 5:29 PM
ANTARA mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Kampong Tenang, Segamat. FOTO Nur Aisyah Mazalan
ANTARA mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Kampong Tenang, Segamat. FOTO Nur Aisyah Mazalan