Noor Faridah menunjukkan kerepek pisang yang terselamat daripada dimusnahkan sekumpulan monyet yang mencerobohi rumahnya di Kampung Londang, Masjid Tanah. FOTO Hassan Omar
Noor Faridah menunjukkan kerepek pisang yang terselamat daripada dimusnahkan sekumpulan monyet yang mencerobohi rumahnya di Kampung Londang, Masjid Tanah. FOTO Hassan Omar
Hassan Omar


Masjid Tanah: Seorang ibu tunggal terpaksa menanggung kerugian lebih RM200 selepas kerepek pisang yang dihasilkannya dengan titik peluh sendiri dimakan dan dirosakkan sekumpulan monyet.

Noor Faridah Mat, 52, mendakwa terkejut susulan tindakan sekumpulan monyet mencerobohi kediamannya di Kampung Londang, di sini, petang semalam, sebelum mengoyak bungkusan kerepek pisang dihasilkan.

Dia berkata, ketika kejadian dia dan anak perempuannya berusia 29 tahun menziarahi besannya di Merlimau manakala anak lelakinya berusia 27 tahun bekerja di Alor Gajah.

"Kami tiba di rumah pada jam 4 petang semalam tetapi terkejut apabila mendapati perkakas di dapur berselerak akibat diselongkar oleh cik nyet (monyet).

"Yang sedihnya, lebih 20 bungkusan kerepek pisang bernilai lebih RM200 dimakan manakala sebahagian lagi dibiarkan berselerakan," katanya semalam.

Dia berkata, kerepek pisang adalah sumber rezeki utamanya selepas berhenti kerja di sebuah warung kopi tiga tahun lalu manakala anak perempuannya sudah berhenti kerja kilang sejak hamil beberapa bulan lalu.

Noor Faridah berkata, dia mengesyaki haiwan liar itu masuk ke dalam rumah melalui lubang antara bumbung dengan dinding.

"Sebelum ini, monyet itu setakat mengambil pisang pada pokok di belakang rumah tetapi sekarang sudah berani masuk ke dalam rumah," katanya.

Dia memberitahu pernah cuba menghalau haiwan itu dengan menggunakan mercun tetapi kumpulan monyet hanya melarikan diri apabila dilempar mercun sebelum datang semula.

Sehubungan itu, dia meminta Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) membantu memasang perangkap monyet di hutan belakang rumahnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 January 2022 @ 3:59 PM