Monyet di luar perangkap seolah-olah ingin menyerang sesiapa sahaja yang menghampiri perangkap yang dimasuki monyet lain di Kampung Londang, Masjid Tanah. FOTO Hassan Omar
Monyet di luar perangkap seolah-olah ingin menyerang sesiapa sahaja yang menghampiri perangkap yang dimasuki monyet lain di Kampung Londang, Masjid Tanah. FOTO Hassan Omar
Hassan Omar


Masjid Tanah: Seorang ibu tunggal menarik nafas lega apabila kumpulan monyet yang sering merosakkan kerepek pisang dan peralatan rumahnya berjaya diperangkap menggunakan buah epal semalam.

Noor Faridah Mat, 52, ceria apabila menyaksikan sekurang-kurangnya lima monyet pelbagai saiz terjerat dalam perangkap besi dipasang kakitangan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) sejak Khamis lalu.

Sebelum ini Harian Metro melaporkan kediaman wanita terbabit dimasuki sekumpulan monyet dari hutan berhampiran dan mengakibatkan berpuluh bungkus kerepek pisang yang sedia untuk dipasarkan, dimakan dan dirosakkan.

Ia menyebabkan Noor Faridah terpaksa menanggung kerugian lebih RM200, selain kecewa selepas beberapa pinggan kaca pecah akibat dilempar haiwan liar itu.

Menurutnya, monyet liar itu enggan masuk ke dalam jerat ketika peringkat awal perangkap itu dipasang minggu lalu.

"Selepas mendapati pisang yang saya umpan di dalam perangkap itu tidak berhasil, saya letakkan pula buah lain seperti epal dan buah lai. Alhamdulillah, cik nyet (monyet) tertarik untuk memakannya," katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Londang, di sini.

Bagaimanapun, usahanya untuk menghampiri perangkap berkenaan gagal berikutan beberapa monyet besar yang berada di luar perangkap bertindak garang seolah-olah ingin menyerangnya.

Noor Faridah berkata, sejak perangkap itu dimasuki monyet, kediamannya tidak lagi 'diserang' haiwan liar itu yang bukan setakat menyebabkan peralatan dapur berselerak, malah kerepek pisang yang dihasilkannya turut musnah dimakan serta dirosakkan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 January 2022 @ 11:36 AM