Foto hiasan
Foto hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Polis sedang melakukan risikan dan pemantauan bagi mengesan kumpulan atau individu yang ada menjalankan aktiviti menjual sijil vaksin Covid-19.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, setakat ini hanya satu kes dikesan berkaitan penawaran sijil vaksin palsu.

"Kami mengesahkan penahanan seorang pengamal perubatan yang dikesan menjalankan aktiviti penjualan sijil vaksin Covid-19 tanpa memberikan suntikan vaksin sebenar.

"Lelaki berusia 51 tahun itu ditahan di Marang, Terengganu. Setakat ini, hanya satu kes dikesan berkaitan aktiviti penawaran sijil vaksin palsu.

"Bagaimanapun, pihak polis sedang melakukan risikan dan pemantauan bagi mengesan kumpulan atau individu yang mungkin menjalankan aktiviti berkenaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan seumpama itu untuk menyalurkan maklumat dengan menghubungi CCID Scam Response Center di talian 03-26101559 atau mana-mana balai polis berhampiran untuk tindakan lanjut.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan Polis Terengganu membongkar kegiatan penjualan sijil vaksinasi Covid-19 dipercayai palsu dengan merampas hampir 100 keping kad peringatan (janji temu) vaksinasi, Sabtu lalu.

Kegiatan itu terbongkar susulan serbuan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) yang membawa kepada penahanan seorang doktor lelaki berusia 51 tahun di sebuah klinik swasta di Marang, Terengganu pada 7 malam.

Ketua Polis Terengganu Datuk Rohaimi Md Isa dilaporkan berkata, serbuan dilakukan hasil maklumat diterima mengenai kegiatan penipuan mengeluarkan sijil vaksin kepada golongan tidak mahu disuntik atau antivaksin.

Beliau berkata, suspek dipercayai melakukan urusan penjualan itu secara dalam talian sejak September tahun lalu dengan setiap sijil dikenakan bayaran antara RM400 hingga RM600.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 January 2022 @ 4:40 PM