KAD peringatan vaksinasi yang dirampas polis di Terengganu. FOTO Bernama
KAD peringatan vaksinasi yang dirampas polis di Terengganu. FOTO Bernama
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap kumpulan yang memalsukan sijil vaksinasi Covid-19.

Presiden MMA, Dr Koh Kah Chai berkata, pihaknya kecewa dengan tindakan kumpulan terbabit yang menjual sijil vaksinasi itu secara dalam talian.

"Kami mahu pihak berkuasa menjalankan siasatan secara menyeluruh dan membawa mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.

"Kami juga menggesa orang ramai membuat laporan kepada pihak berkuasa sekiranya mereka mempunyai maklumat mengenai sebarang aktiviti rasuah dalam sektor kesihatan," katanya.

Semalam, polis Terengganu membongkarkan kegiatan penjualan sijil vaksinasi Covid-19 dipercayai palsu dengan merampas hampir 100 keping kad peringatan (temu janji) vaksinasi.

Kegiatan itu terbongkar susulan serbuan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) yang membawa kepada penahanan seorang doktor klinik swasta berusia 51 tahun pada Sabtu.

Suspek dipercayai melakukan perbuatan itu sejak September tahun lalu selepas klinik berkenaan mendapat kebenaran mengendalikan suntikan vaksinasi secara berbayar.

Dalam tempoh berkenaan, lebih 1,900 sijil vaksinasi Covid-19 dengan kadar bayaran antara RM400 hingga RM600 dijual secara dalam talian.

Dr Koh berkata, MMA tidak membenarkan aktiviti sedemikian berlaku yang memusnahkan integriti profesion perubatan, lebih-lebih lagi jika menyebabkan kemudaratan kepada kesihatan awam.

Justeru, beliau meminta orang ramai menyalurkan sebarang maklumat atau aduan kepada MMA menerusi di [email protected].

Berita berkaitan:

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 January 2022 @ 1:26 PM