Rohaimi (dua dari kanan) bersama Pengarah Jabatan Kesihatan Terengganu Datuk Dr Kasemani Embong (dua dari kiri) menunjukkan  dokumen vaksinasi Covid-19 dipercayai palsu. Foto Ghazali Kori
Rohaimi (dua dari kanan) bersama Pengarah Jabatan Kesihatan Terengganu Datuk Dr Kasemani Embong (dua dari kiri) menunjukkan dokumen vaksinasi Covid-19 dipercayai palsu. Foto Ghazali Kori
Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Polis menahan enam individu termasuk seorang juruteknik bagi membantu siasatan berhubung penipuan sijil vaksinasi Covid-19 dipercayai palsu yang dikendalikan seorang doktor klinik swasta di Marang.

Ketua Polis Terengganu Datuk Rohaimi Md Isa berkata, kesemua mereka berusia antara 35 hingga 57 tahun ditahan di sekitar Marang, Dungun dan Kuala Terengganu semalam.

Menurutnya, pihaknya sudah mengambil keterangan enam individu terbabit dan kesemua mereka dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.

"Kesemua individu yang ditahan itu dipercayai membantu suspek menghebahkan kepada orang ramai berkaitan sijil vaksinasi berkenaan.

"Hebahan perkhidmatan itu dilakukan menerusi 'mulut ke mulut' melalui kenalan yang dipercayai dan diupah dengan bayaran RM50 bagi setiap pelanggan.

"Siasatan awal yang dijalankan terhadap kakitangan klinik swasta berkenaan mendapati mereka tidak terbabit dalam kegiatan pemalsuan sijil vaksinasi itu," katanya.

Rohaimi berkata, siasatan awal mendapati suspek berusia 51 tahun turut mengakui golongan antivaksin namun mengambil suntikan itu atas tuntutan kerja.

Katanya, perkhidmatan penipuan itu dilakukan suspek secara bersendirian di kliniknya dengan kebanyakan urusan dilakukan secara dalam talian termasuk melalui emel.

Terdahulu, Polis Terengganu membongkar kegiatan penjualan sijil vaksinasi Covid-19 dipercayai palsu dengan merampas hampir 100 keping kad peringatan (temu janji) vaksinasi.

Kegiatan itu terbongkar susulan serbuan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersial yang membawa penahanan seorang doktor lelaki berusia 51 tahun di sebuah klinik swasta di Marang pada 7 malam kelmarin.

Berita berkaitan

Sijil Vaksinasi Palsu : Kerajaan Terengganu pantau, ambil tindakan penjawat awam

Sijil vaksin Covid-19 palsu dirampas [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 January 2022 @ 7:14 PM