1,900 sijil vaksinasi Covid-19 palsu yang dirampas polis. FOTO Arkib NSTP
1,900 sijil vaksinasi Covid-19 palsu yang dirampas polis. FOTO Arkib NSTP
Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Pihak berkuasa diminta menyelesaikan siasatan dengan segera bagi menghentikan amalan jahat oleh golongan doktor yang melanggar sumpah hipokratik dalam isu penjualan sijil vaksin Covid-19 palsu.

Presiden Ikatan Komuniti Selamat Tan Sri Lee Lam Thye berkata, berita mengenai sebuah klinik di Kuala Terengganu, Terengganu yang menjalankan aktiviti menjual sijil vaksin Covid-19 palsu adalah suatu perkara yang membimbangkan.

"Kita harus mengucapkan tahniah kepada pihak polis atas kejayaan mengesan aktiviti penipuan membabitkan seorang doktor yang mengeluarkan 1,900 sijil vaksinasi palsu.

"Bagaimanapun, yang menjadi persoalan sekarang adalah adakah ini hanya salah satu daripada beribu kes yang tersembunyi? Berapa banyak klinik swasta lain yang terbabit dalam amalan tidak beretika sebegini?

"Tidak dapat dinafikan, jika ini boleh berlaku di Terengganu, besar kemungkinan perkara ini boleh berlaku di tempat lain juga dan disebabkan itu, pihak berkuasa perlu berusaha sedaya upaya dalam memastikan semua penjenayah ini dikesan dan diberkas," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Lam Thye berkata, jika aktiviti itu tidak dibanteras, keyakinan orang ramai terhadap usaha vaksinasi kebangsaan yang dilaksanakan dengan jayanya pada waktu ini akan berdepan cabaran getir.

"Antara langkah yang perlu dilakukan kini adalah mengesan semua mereka yang mendapat sijil palsu. Ini tidak sepatutnya sukar dilakukan kerana klinik berkenaan pasti mempunyai rekod yang disimpan.

"Jika ini tidak dilakukan, pembawa sijil vaksin palsu ini boleh bergerak bebas di pasar raya, restoran dan tempat lain dan sekali gus menjadi ancaman kepada orang lain," katanya.

Beliau berkata, persoalan lain yang perlu dijawab adalah sama ada terdapat pertalian antara sijil palsu dan suntikan palsu.

"Beberapa bulan lalu, terdapat kes suntikan palsu yang diberikan di pusat vaksinasi, namun pihak berkuasa dengan cepat menolak kes itu sebagai kesilapan tidak disengajakan dan gagal menjalankan siasatan menyeluruh walaupun sesetengah pihak menyatakan bahawa adalah penting untuk berbuat demikian.

"Turut menjadi persoalan adalah apakah tindakan yang diambil oleh Persatuan Perubatan Malaysia bagi memastikan nama baik doktor di negara ini terpelihara, khususnya pengamal perubatan awam?

"Apa yang berlaku sememangnya satu penghinaan terhadap profesion mulia ini dan setiap langkah wajar mesti diambil untuk memulihkan keyakinan orang ramai dan menjaga nama baik doktor dan jururawat yang menjadi wira barisan hadapan semasa pandemik Covid-19 ini," katanya.

Katanya, dalam isu ini, diharap tiada usaha yang mencuba untuk menyembunyikannya dan mengambil jalan mudah serta menjadikannya sebagai kes terpencil.

"Orang ramai mempunyai hak untuk mengetahui semua fakta membabitkan urusan keji ini dan mendapat jaminan bahawa langkah berjaga-jaga yang mereka ambil tidak menjejaskan diri mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 January 2022 @ 6:10 PM